Tuesday 24 November 2015

Kecurian Bauksit Menjadi Masalah – Ahmad Razif

12191586_945363872224413_5400428446666222259_n

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu sedia mempertimbangkan permohonan pengusaha bauksit yang berhasrat memperoleh lesen melombong di negeri ini, dengan syarat ia tidak mendatangkan mudarat kepada penduduk setempat.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, bagaimanapun berkata pengusaha bauksit perlu memberi penerangan kepada penduduk tentang kaedah pengeluaran bauksit agar ia tidak mencemarkan alam sekitar dan menimbulkan masalah kepada mereka.
“Sekarang, memang ada yang memohon lesen melombong bauksit di tanah persendirian dan milik Sime Darby Sdn Bhd, namun kita belum memberi kata putus berhubung perkara itu.
“Masalah timbul bila berlaku kecurian bauksit dan pencuri ini mengeluarkan bauksit tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya dan di sinilah punca kemarahan orang ramai berhubung isu bauksit,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis menandatangani ikrar integriti korporat Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) dan 16 anak syarikat, bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan belanja besar menanggung kos gaji lebihan masa anggota penguatkuasa yang bertugas 24 jam untuk mencegah kecurian bauksit pada masa ini.
“Selama mana kita dapat menghalang perkara ini (kecurian) daripada terjadi dan adalah lebih baik kita memberi kebenaran bagi penjualan bauksit ketika harganya masih tinggi.
“Ia boleh menjadi sumber pendapatan kepada negeri yang juga akan dinikmati rakyat. Harga bauksit pada masa ini amat tinggi dan negeri jiran, Pahang mampu menjana pendapatan sebanyak RM2 juta sebulan hasil eksport mineral ini.
“Justeru, kita bercadang mengeluarkan lesen kepada mana-mana pihak berminat dan mereka mestilah mematuhi syarat ketat yang ditetapkan bagi mengelak pencemaran dan isu berbangkit di kemudian hari,” katanya.
Beliau berkata jika pengusaha bauksit didapati melanggar peraturan ditetapkan, lesen mereka akan ditarik balik serta-merta kerana kerajaan negeri tidak akan berkompromi berhubung soal keselamatan penduduk. – Bernama

No comments:

Post a Comment