Monday 12 October 2015

Lelaki maut paramotor terhempas di Besut


Aziz dikatakan amat meminati sukan luncur angin udara paramotor dan daerah Besut menjadi antara destinasi yang sering                                                       dilawatinya untuk melakukan aktiviti sukan tersebut.


KAMPUNG RAJA – Seorang peminat sukan paramotor maut selepas paramotor yang dkendalikannya terhempas ketika dia melakukan penerbangan di kawasan pantai Air Tawar, di sini, petang kelmarin.
Difahamkan mangsa, Aziz Noh, 50, yang bekerja sebagai pembantu operasi sebuah sekolah rendah di Rantau Panjang, Kelantan berpengalaman dan aktif dalam sukan  luncur udara bermotor itu.
Menurut sumber, kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu berlaku ketika mangsa sedang meluncur di udara di kawasan pantai tersebut bersama-sama empat peluncur udara lain yang juga rakannya.
Katanya, mangsa pada sebelah paginya dikatakan pergi ke kejohanan paramotor di Kuala Terengganu sebelum singgah di pantai Air Tawar ketika dalam perjalanan pulang ke Rantau Panjang.
“Kejadian berlaku ketika mangsa melakukan penerbangan kali kedua pada petang itu apabila secara tiba-tiba paramotor dikendalikan mangsa dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum terhempas di pantai tersebut pada ketinggian dianggarkan 20 meter,” kata sumber.
Menurutnya, lebih menyayat hati, isteri dan seorang anak mangsa yang turut berada di tempat kejadian dikatakan turut menyaksikan kejadian itu.
Katanya, mangsa yang masih bernyawa kemudian dikejarkan menggunakan ambulan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut yang tiba tidak lama kemudian ke Hospital Besut.
Bagaimanapun mangsa dikatakan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan hospital berkenaan akibat kecederaan dalaman.
Jenazah Aziz atau lebih dikenali Aziz Spekar Rantau kemudian dituntut ahli keluarga kira-kira jam 10.30 malam kelmarin untuk dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang untuk urusan pengebumian.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Suhaimi Awang ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 6.21 petang kelmarin.
Kata beliau, sejurus selepas mendapat maklumat tersebut, tiga anggota JPAM bersama sebuah ambulan bergegas ke tempat kejadian.
“Mangsa seorang lelaki yang mengalami kesukaran bernafas dan dipercayai mengalami kecederaan dalaman di bahagian leher telah dikejarkan ke Hospital Besut,” katanya. -sh

No comments:

Post a Comment