Itu yang berlaku di Kampung Chuah dekat sini, apabila seorang abang mati di tangan adiknya selepas berlaku pertengkaran hanya kerana berebutkan alat kawalan jauh televisyen.
Dalam kejadian yang berlaku pukul 2.30 petang, mangsa dikenali sebagai Helmizi Imran, 33, yang be­kerja di Bahagian Khidmat Pelanggan Limosin Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meninggal dunia selepas mengalami kece­deraan di dada kirinya akibat ditikam oleh adik­nya berusia 22 tahun yang bekerja sebagai tukang cat di Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pihak Klinik Kesihatan Bukit Pelandok selepas mangsa dikejarkan ke sana untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
“Mangsa telah dihantar oleh ahli keluarganya selepas kejadian itu, namun dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dan polis mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6 petang tadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia malam tadi.
ZANIAH menunjukkan lokasi anaknya bergaduh.
Mengulas mengenai kejadian itu, Baharudin menjelaskan, kes berkenaan berlaku kira-kira pukul 2.30 petang tadi selepas suspek ditegur oleh mangsa kerana berebutkan alat kawalan jauh televi­syen daripada anak mangsa ber­usia lima tahun.
Katanya, ekoran dari kejadian itu berlaku perang mulut kedua beradik berkenaan sebelum dileraikan oleh ahli keluarganya dan pada ketika itu keadaan tenang semula.
“Namun selang beberapa minit kemudian berlaku lagi pertikaman lidah antara dua beradik di luar rumah dan akhirnya adik mangsa bertindak luar pertimbangan de­ngan menikam mangsa dengan pisau dan mengenai dada kirinya,” kata Baharudin.
Jelasnya, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dekat sini untuk dibedah siasat esok sebelum diserahkan kembali kepada keluarga mangsa untuk urusan pengebumian.
Baharuddin memberitahu, usa­ha memburu suspek sedang dijalankan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302, Kanun Ke­seksaan kerana membunuh.