Monday 21 September 2015

Ada Lagi Hadiah Besar Menanti THT – MB

                                  17

Kejayaan Pasukan Hoki Terengganu (THT) menjulang Piala TNB membanggakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan peminat hoki negeri.
Walaupun perlawanan dengan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil semalam amat sengit, ternyata kesungguhan pemain untuk mempertahankan piala memberi semangat kepada mereka.
Ahmad Razif berkata, kejayaan yang diperoleh adalah hasil usaha gigih pemain serta pihak pengurusan THT.
“Ini merupakan kemenangan berganda kali kedua berturut setelah memenangi Liga Hoki Malaysia baru-baru ini hasil dari kesungguhan para pemain.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan tahniah pada pasukan THT walaupun terpaksa berhempas pulas untuk mengekalkan kejuaraan sekaligus mengharumkan nama negeri,” katanya kepada teganukita. 
Beliau ditemui selepas majlis penyampaian piala tersebut di Stadium Hoki Bukit Jalil, malam tadi.
THT menewaskan KLHC dalam aksi final Piala TNB menerusi penentuan penalti 5-4 selepas terikat 1-1.
10 (11)
Kejayaan itu membolehkan THT membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM70,000 bersama trofi, manakala KLHC (RM50,000), Sapura (RM40,000) dan Maybank (RM30,000).
Dengan kemenangan tersebut juga, Ahmad Razif berkata pasukan akan menerima insentif daripada kerajaan negeri.
“Mereka akan menerima insentif dari kerajaan negeri dalam masa terdekat selepas perbincangan dibuat semasa mesyuarat Exco nanti,” katanya.
Tahun lalu, semua pemain menerima insentif RM8,000 seorang daripada kerajaan negeri dan lawatan ke Eropah apabila mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara berganda Liga Hoki Malaysia (LHM) dan Piala Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2014. - teganukita

No comments:

Post a Comment