Thursday 30 July 2015

Unisza cipta kerusi roda mudah alih


Gambar rajah komponen aksesori kerusi roda mudah alih dicipta kumpulan penyelidik Unisza.
KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) telah berjaya mempatenkan satu daripada produk penyelidikannya, yang dikenali sebagai ‘portable wheelchair’ atau kerusi roda mudah alih.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan) Unisza, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, produk penyelidikan itu diketuai oleh pensyarah dari Fakulti Seni Reka dan Teknologi Kejuruteraan, iaitu Prof Madya Dr Javeed Shaikh Mohammed yang juga Ketua
Kluster Teknologi Termaju.

Menurutnya, pihaknya kini dalam proses pengubahsuaian agar aksesori kerusi roda itu lebih mesra pengguna, sebelum dikomersialkan.
“Produk ini sebenarnya sebagai satu alat sokongan yang membantu mereka yang kurang upaya, kerana apabila mereka menggunakan kerusi roda ini, salah satu daripada komponen penting alat ini ialah ia dapat membantu jika ada halangan di hadapan. Ia dapat membantu mereka misalnya untuk membuka pintu atau mengelak daripada halangan.
“Itu antara satu pencapaian kita dalam konteks penyelidikan. Penciptaan kerusi roda mudah alih ini disokong oleh geran dalaman universiti dan Alhamdulillah, sudah dipatenkan dan kita dalam proses untuk mengkomersialkannya. Prototaip yang dibuat ini mengambil masa kira-kira empat bulan, di bawah geran khas pengkomersialan Unisza,” katanya.
Jelas beliau, kumpulan projek penyelidikan itu mengambil masa dua bulan untuk mereka bentuk dan dua bulan untuk proses ujian prototaip berkenaan.
Produk itu katanya, masih belum dikomersialkan memandangkan pihaknya kini sedang membuat beberapa pengubahsuaian pada beberapa komponen seperti ‘roller’ agar ia lebih sesuai dan mesra pengguna.
“Kos yang dicadangkan di peringkat ini ialah sekitar RM15,000 ke RM18,000. Namun apabila ia dikomersialkan, saya yakin kosnya akan menjadi lebih rendah kerana kalau kita bandingkan dengan harga sebuah kerusi roda, purata harganya antara RM3,000 ke RM4,000.
“Mungkin harganya nanti kurang daripada harga yang dicadangkan kerana mengambil kira prototaip. Material yang kita gunakan juga, akan DIambil daripada bahan-bahan tempatan yang ada di pasaran sekarang,” katanya.
Menurut Mohd Ekhwan, produk itu bukanlah model baharu kerusi roda tetapi ia adalah aksesori kerusi roda dan mempunyai dua bahagian.
Kedua-dua bahagian itu apabila disambungkan, akan memudahkan pengguna kerusi roda untuk menolak pintu terbuka, melalui halangan serta lebih selamat untuk mereka bergerak bebas.
Beliau menjelaskan, Unisza amat menitikberatkan kemudahan untuk golongan kurang upaya, malah dalam konteks mereka bentuk bangunan dan kemudahan infrastruktur asas di universiti itu, mereka mengambil kira kemudahan untuk OKU.
Fasiliti utama di kampus seperti perpustakaan, bangunan senat dan bangunan-bangunan utama lain mempunyai laluan khas untuk OKU.
Katanya, Unisza kini dalam proses mereka bentuk bangunan canselori yang baharu dan bangunan hospital serta kompleks pelajar, yang mana ketiga-tiga bangunan utama ini akan mengambil kira kemudahan golongan OKU.
“Lebih kurang 70 peratus kemudahan di Unisza mesra OKU kerana kita mengambil kira golongan itu. Setakat ini ada dua bangunan yang sedang dalam proses pengubahsuaian dan Insya-ALLAH, kemudahan untuk mereka akan kita sediakan.
“Tetapi masih ada bangunan lama di kampus yang masih lagi tidak mesra OKU, ini kita akan pertimbangkan pada masa akan datang. Setakat ini bilangan golongan OKU di Unisza hanya sekitar satu peratus tetapi dalam setiap perancangan kita untuk masa depan, tidak ada diskriminasi antara mereka yang normal dan kurang upaya,” katanya.

Lebih membanggakan katanya, Unisza memperoleh lima bintang bagi kategori kemudahan dan pengajaran, iaitu salah satu kriteria utama dalam rating QS, yang mana kemudahan yang dinilai itu turut merangkumi kemudahan untuk orang kurang upaya. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment