Thursday 11 June 2015

YT sedia peruntukan beli komputer pelajar IPT


Yayasan Terengganu
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) memperuntukkan RM30 juta bagi bantuan persediaan dan bantuan pembelian komputer kepada anak Terengganu yang berjaya melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) pada tahun ini.
Pengarah YT, Mohamad Sulong berkata, daripada jumlah itu, RM20 juta adalah bagi bantuan persediaan untuk mereka yang melanjutkan pengajian di peringkat sijil, matrikulasi, diploma dan ijazah dan RM10 juta bagi bantuan pembelian komputer.
Menurutnya, bantuan pembelian komputer sebanyak RM500 seorang, diberikan kepada mereka yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah.
“Bantuan ini yang terbaru, bermula tahun ini sebagaimana diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman sebelum ini.
“Bantuan ini kita beri sekali saja iaitu jika pelajar diploma ini sudah terima, bila dia sambung peringkat ijazah nanti, dia tak layak dapat,” katanya.
Kata beliau, bagi pelajar matrikulasi yang berjaya ke peringkat ijazah mereka juga berpeluang untuk mendapatkan bantuan ini.
“Kita lihat komputer ini perlu untuk pelajar, sebab itu kita beri wang agar mudah mereka beli komputer,” katanya.
Bazlan (dua kiri) dan Mohamad (tiga kiri) menyampaikan Bantuan Persediaan YT dan Bantuan Pembelian Komputer di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam.
Beliau berkata ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persediaan YT dan Bantuan Pembelian Komputer bagi peringkat Matrikulasi dan Diploma Sesi Pengajian 2015/2016 di Taman Tamadun Islam di sini. Turut hadir ADUN Batu Rakit, YB Bazlan Abdul Rahman.
Jelasnya, bantuan persediaan ikut kategori iaitu RM1,000 bagi ijazah, RM750 (diploma) dan RM500 (sijil dan matrikulasi). Bantuan tambahan RM300 pula diberi kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di Sabah dan Sarawak.
Setakat ini katanya, lebih kurang 5,000 penerima sudah dapat bantuan berkenaan. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment