Monday, 29 June 2015

OKU bukan halangan keliling dunia dengan motosikal


KOHEI Hakamada bersama motosikal kesayangan yang digunakan untuk mengembara mengelilingi dunia sejak 2010.
KUALA TERENGGANU: Kesukaran berkomunikasi tidak menghalang warga tua dari Jepun, Kohei Hakamada, untuk merentasi enam benua dengan hanya bermotosikal.
Hakamada, 65, dari Yokohama, yang hanya menggunakan bahasa isyarat, hingga kini sudah menjejaki 91 negara sejak memulakan pengembaraan solonya lima tahun lalu.
Kekurangan diri sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk menjejaki dan mengenali negara-negara lain biarpun hanya secara berseorangan.
“Walaupun saya mempunyai masalah pendengaran tapi saya tetap bersemangat untuk mengembara, dan membuktikan bahawa orang cacat pendengaran seperti saya juga mampu menjelajah ke seluruh dunia seorang diri,” katanya dengan bantuan perantara ketika ditemui di rumah Persatuan Orang Pekak Terengganu di Batu Buruk di sini.
Antara negara yang beliau lawati ialah Korea Selatan, Rusia, Khazakhstan, Turki, Mesir, Thailand dan India, manakala di Malaysia pula dia sudah tiba di Kelantan sejak seminggu lalu dan ini kali pertama sampai di Terengganu.
Hakamada akan meneruskan pengembaraannya ke Pahang dan seterusnya ke Sabah dan Sarawak sebelum ke Singapura dan seterusnya Australia.
Bapa kepada dua orang anak ini menjangka menamatkan misi kembara mengelilingi dunia itu pada 2018 kerana terdapat beberapa buah negara lagi yang belum dijejaki.
Hakamada memilih untuk mengembara secara bermotosikal kerana merasakan ia lebih seronok berbanding perjalanan menaiki bas atau kapal terbang.
“Setelah tiba di sesebuah negara, saya akan menjelajah beberapa tempat di negara itu bagi mengenali dengan lebih dekat budaya dan menghirup udara segar di negara itu.
“Kembara dengan pengangkutan lain, tidak seronok (seperti) bermotosikal,” katanya. Idea untuk mengelilingi dunia itu tercetus selepas dia menamatkan perkhidmatan di sebuah syarikat percetakan akhbar ketika usia 60 tahun.
“Saya mula bekerja pada usia 30 tahun. Pada usia 60 tahun saya sudah pencen dan dengan duit hasil kerja saya itulah saya gunakan untuk menampung perbelanjaan ketika mengembara,” katanya.
KOHEI HAKAMADA (kanan) menunjukkan motosikal kesayangan yang digunakan untuk mengembara mengelilingi dunia sejak 2010 ketika ditemui di Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.
Hakamada yang pertama kali tiba di negeri ini bergambar bersama warga Rumah Persatuan Orang Pekak Terengganu di Batu Buruk.
Pada mulanya, isterinya Sumie, 64, agak keberatan melepaskannya untuk kembara berseorangan, tetapi disebabkan semangat bersungguh-sungguh isterinya membenarkan dan mereka kerap berhubung menerusi panggilan video atau skype.
Hakamada akan pulang sesekali ke Yokohama apabila diminta oleh isterinya dan untuk melepaskan rasa rindu kepada keluarganya. “Sesekali saya akan pulang ke rumah bertemu isteri dan anak, ..selepas itu saya akan kembali mengembara,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment