Sunday 17 May 2015

Terkini! MB kecewa mutu pengadilan, mahu PBSNT buat bantahan


Ahmad Razif ketika sidang media di UniSZA hari ini.
Ahmad Razif ketika sidang media di UniSZA hari ini.
MB kecewa mutu pengadilan, mahu PBSNT buat bantahan
Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman hari ini melahirkan kekecewaan dengan mutu pengadilan yang disifatkan sangat lemah kerana membatalkan gol keempat pasukan Terengganu di samping melayangkan 2 kad merah kontroversi kepada Paulo Rangel dan Gustavo Lopez.
Ahmad Razif berkata susulan layangan 2 kad merah tersebut telah membangkitkan kemarahan penyokong tuan rumah yang bertindak merusuh selepas perlawanan dan pengadil sepatutnya memainkan peranan dengan lebih bertolak ansur dan bukan mengikut emosi.
Beliau berkata demikan ketika di sidang media selepas Program Perasmian Minggu Pusat Pengajian Siswazah UniSZA dan Perasmian Bengkel Pengurusan Zakat di Dewan Permata UniSZA Gong Badak hari ini.
Sehubungan dengan itu beliau mahu PBSNT membuat bantahan rasmi kepada FAM bagi menilai kembali tindakan pengadil itu dan jika terbukti gol itu tidak offside, FAM perlu mengadakan semula perlawanan separuh akhir itu sebagai alternatif penyelesaian.
Ahmad Razif turut bertegas jika FAM tidak menyiasat dengan telus, pasukan Terengganu tidak teragak-agak untuk menarik diri dari Liga bola sepak Malaysia.
Dalam pada itu, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat insiden rusuhan yang dicetuskan penonton hingga menyebabkan kebakaran pada stadium dan sebuah van Saint John Ambulance dan mengakibatkan kerugian lebih RM150 ribu.
Kesan cermin pintu masuk Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang pecah selepas rusuhan penonton.
Duka cita dengan isu ini, beliau berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja menyebabkan berlakunya kekecohan malam tadi.
Ahmad Razif juga memberitahu satu pendekatan baru yang lebih sistematik akan dilaksanakan bagi membendung insiden berkenaan berulang di masa depan.
Proses pembaikian kerosakan yang berlaku di stadium itu dijangka mengambil masa seminggu hingga dua minggu dan akan disiapkan dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment