Thursday 21 May 2015

Terengganu catat 460 kes demam denggi


denggiKUALA TERENGGANU – Demam denggi di negeri ini meningkat kepada 460 kes setakat 18 Mei lalu berbanding 297 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu, kata exco negeri.
Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata keadaan itu menunjukkan peningkatan 163 kes atau 54.9 peratus bagi tempoh itu.
“Daerah Kuala Terengganu menjadi penyumbang utama dengan 253 kes, Dungun (94), Kemaman (67), Marang (20), Besut (13), Hulu Terengganu (sembilan) dan Setiu (empat),” katanya.
Sepanjang tempoh itu juga, Terengganu mencatat dua kes kematian akibat denggi iaitu masing-masing satu kes di Besut dan Kemaman.
“Bagaimanapun, secara keseluruhan, Terengganu mencatat penurunan kes denggi ketara bermula akhir Mac hingga sekarang iaitu hanya 6 hingga 11 kes seminggu  berbanding 20 hingga 60 kes seminggu pada Januari dan Februari, katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.
Muhammad Pehimi berkata, setakat ini Jabatan Kesihatan Negeri memeriksa 91,627 premis di seluruh negeri dan daripada jumlah itu, 734 premis didapati positif sebagai tempat pembiakan Aedes dan dikenakan kompaun mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 pindaan 2000.
Katanya 6,580 notis amaran pembersihan dikeluarkan terhadap premis yang berpotensi membiak nyamuk aedes di dalam atau persekitaran premis masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat di negeri ini menjaga kebersihan di persekitaran rumah mereka bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes, malah kerajaan negeri juga telah menganjurkan gotong royong perdana untuk melakukan pembersihan secara lebih tersusun. -Bernama

No comments:

Post a Comment