Wednesday 13 May 2015

Skuad Sukarelawan TTB Cecah 10000 Penyertaan


rozi mamat
Penyertaan Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman Disember tahun lalu mendapat sambutan luar biasa dengan penerimaan lebih 10,000 penyertaan dikalangan belia negeri Terengganu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Dato’ Rozi Mamat, penyertaan sebagai sukarelawan TTB bukan sahaja menarik minat golongan belia malahan mereka yang berumur 40 tahun ke atas juga turut mendaftar untuk menjadi sukarelawan dan bersedia mengikuti kursus yang disediakan.
Antara kursus dan latihan yang disediakan untuk sukarelawan ini adalah latihan dan kemahiran untuk menghadapi bencana sama ada di dalam negeri atau luar negeri.
Menurut Rozi, modul latihan disediakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri dengan kerjasama dari Jabatan Bomba, Jabatan Pertahanan Awam, PDRM dan Rejimen Askar Melayu, katanya ketika menjawab soalan lisan dari Adun Jabi pagi ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Rozi yang juga Adun Telemong turut berkata, pelaksanaan skuad sukarelawan TTB ini secara langsung dapat meningkatkan perpaduan, integriti dan sahsiah diri belia serta melahirkan solidariti yang tinggi dikalangan masyarakat negeri Terengganu.

No comments:

Post a Comment