Wednesday 27 May 2015

Empat zon mandian selamat diwujudkan di Terengganu


Pulau Rhu Sepuluh Setiu.
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri bakal mewujudkan Zon Mandian Selamat di beberapa pantai peranginan di seluruh negeri ini bagi memastikan aktiviti riadah dijalankan di kawasan berkenaan selamat dan berada dalam pemantauan pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, sebagai permulaan, empat pantai yang sudah dikenal pasti ialah Pantai Batu Buruk, Seberang Takir, Batu Rakit di Kuala Terengganu dan juga Rhu Sepuluh di Setiu.
Menurutnya, antara kemudahan yang akan disediakan di zon berkenaan termasuklah menara tinjau, anggota pengawal pantai, kemudahan bilik mandi dan persalinan serta pelbagai kemudahan lain, termasuk gerai menjual peralatan mandian serta makanan.
“Pantai yang dikenal pasti itu ialah Batu Buruk, Seberang Takir, Batu Rakit dan Rhu Sepuluh kerana kawasan itu sering jadi tumpuan ramai.
“Sekarang kita akan buat kajian segera termasuk kekuatan arus bawah (lautan) bagi memberi keyakinan kepada pengunjung bahawa ia benar-benar selamat untuk mandi tetapi hanya di tempat yang dikhaskan sahaja,” katanya.
Kata beliau, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan majlis daerah pula akan sediakan keperluan lain supaya pantai itu dijadikan seperti mana di Gold Coast, Australia.
“Keadaan ombak di sana (Gold Coast) sama seperti musim tengkujuh di tempat kita.. pantai kita juga antara tercantik, rugi jika tidak dimanfaatkan,” katanya.
Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu.
Kata Mohd Jidin, sebagai permulaan pihaknya akan mengadakan ‘Pesta Mandi Laut di Batu Buruk’ sekitar Jun ini, selaras dengan Pesta Candat Sotong.
Namun, lokasi itu juga akan dipastikan disediakan fasiliti yang selamat terlebih dahulu, termasuk laluan tepi pantai bagi memudahkan kenderaan keluar masuk jika berlaku kecemasan dan membuat penambahbaikan kepada laut agar selamat untuk aktiviti riadah.
Mohd Jidin, yang juga Adun Permaisuri berkata, perancangan itu hasil lawatan beliau bersama Menteri Besar ke Gold Coast, Australia baru-baru ini, dan banyak perkara yang boleh diambil untuk memajukan kawasan pesisiran pantai di negeri ini. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment