Sunday 12 April 2015

Sir Shamsul mahu anak Melayu mampu berjaya


Shamsul Ambia Mohamad
KEKURANGAN guru Bahasa Inggeris dalam kalangan orang Melayu ketika itu (1958) telah membakar semangat Shamsul Ambia Mohamad, 77 atau lebih dikenal Sir Shamsul untuk terus berusaha.
Bapa kepada lima anak ini nekad mahu membuktikan kepada masyarakat yang anak Melayu juga mampu berjaya, terutamanya dalam pendidikan Bahasa Inggeris sekali gus ingin menukar persepsi masyarakat yang sering memandang rendah kepada kaum Melayu.
“Disebabkan ketika itu tenaga pengajar terutamanya dalam Bahasa Inggeris amat diperlukan, jadi saya hanya ambil masa setahun belajar di Maktab Perguruan Kota Bharu dan terus ditawarkan mengajar selepas itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Permint Jaya, Chendering, di sini.
Anak kelahiran Negeri Sembilan ini mengakui, penguasaan dan penerimaan Bahasa Inggeris semasa itu terutamanya dalam kalangan anak Melayu berada di tahap terlalu lemah.
“Dulu, susah nak cari anak murid yang suka Bahasa Inggeris, malah majoriti mereka amat takut apabila dengar sahaja mata pelajaran Bahasa Inggeris.
“Tapi, Alhamdulillah, berkat kesabaran sedikit sebanyak saya mampu tukar persepsi anak murid ketika itu agar minat untuk belajar Bahasa Inggeris selain Bahasa Melayu,” katanya.
Selain aktif dalam bidang pendidikan, Sir Shamsul yang dibesarkan di negeri ini turut bergiat aktif dalam dunia politik.
“Saya suka bermasyarakat, jadi faktor itulah yang banyak menarik minat saya untuk melibatkan diri dalam persatuan terutama yang melibatkan penglibatan bersama masyarakat.
“Kesibukan mengajar ketika itu langsung tidak menghalang saya untuk bergiat aktif bersama masyarakat,” katanya yang hampir 15 tahun bergelar pesara guru.
Hari ini, disebabkan faktor kesihatan dan usia, Sir Shamsul terpaksa menarik diri dan tidak bergiat aktif lagi dalam apa jua persatuan serta kelab yang pernah diikutinya bagi membolehkan beliau berehat sepenuhnya.
“Meskipun saya hanya duduk di rumah, tapi saya masih ambil tahu perkembangan dunia hari ini terutamanya dalam bidang pendidikan dan politik serta beberapa persatuan yang pernah saya bergiat sebelum ini,” katanya.
Bagi masyarakat Permint Jaya, Chendering, di sini, terutamanya Umno cawangan, jasa Sir Shamsul tidak akan sesekali dilupakan kerana beliau adalah individu yang memainkan peranan menubuhkan Umno cawangan di situ, selain turut menjadi pengasas kepada penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Permint Jaya yang masih bertahan sehingga hari ini.
Selain itu, Sir Shamsul turut pernah memegang beberapa jawatan penting seperti dalam Persatuan Koperasi Guru-Guru Malaysia Terengganu dan Persatuan Pengguna Negeri.

No comments:

Post a Comment