Thursday 23 April 2015

"Sea Plane" bakal diperkenalkan di Terengganu

Sea Plane” atau pesawat terbang air/laut bakal diperkenalkan dalam industri pelancongan Terengganu, demikian diberitahu oleh Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Semasa pertemuan dengan ketua-ketua Umno Cawangan dalam Bahagian Kuala Nerus kelmarin, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian berkenaan menyatakan itulah salah satu usahanya untuk menjadikan pelancongan lebih bertenaga di negeri ini yang mempunyai pulau dan tasik.

Gambar-gambar dari Saudara Fauzan Abd Kadir (Setiausaha Akhbar) bagi membolehkan masyarakat berkongsi sama lawatan kerja beliau ke Australia baru-baru ini, khususnya berkaitan operasi ‘sea plane’ ini.


Penulis mendapat tahu, selain di Bandar-bandar di tepi laut Australia negara lain seperti Indonesia, Kepulauan Maldives dan lain-lain sudah pun lama menggunakan pengangkutan seumpama ini yang boleh mendarat di laut/air.

Ia mempunyai pelampung di bawah pesawat, kiri dan kanan yang boleh mengapungkan badan pesawat itu di air.

Dalam sejarah, pesawat perang tahun-tahun awal 1900 telah muncul pesawat seperti ini, misalnya di zaman Belanda di Indonesia- bermakna ia bukan teknologi baru, tetapi kita yang ketinggalan memanfaatkannya.

Oleh itu pemikiran jauh ke hadapan Dato’ Ahmad Razif yang akan membawa ‘sea plane’ ke dalam sektor pelancongan Terengganu tidak lama lagi pasti akan membawa satu era transformasi baru pelancongan Terengganu.

Terengganu yang mempunyai beberapa buah pulau seperti Perhentian, Redang, Kapas, Lang Tengah, Tenggol serta Bidong yang terkenal di pentas dunia; juga Tasik Kenyir yang menjadi tumpuan pelancongan antarabangsa selain tempatan, sudah tentu akan menjadi lebih maju dengan adanya pengangkutan sepantas ini.

Juga mempunyai rantaian pantai-pantai menarik cantik di setiap daerah yang amat diminati pelancong dalam dan luar negara- perlu ditambahnilai dengan pelbagai kaedah.
Biasanya pelancong, khususnya luar negara akan berdepan dengan gelombang, pening dan kesihatan yang terganggu menggunakan feri berjam-jam untuk ke pulau-pulau peranginan, tetapi ‘sea plane’ akan mengubah segalanya dari segi kecepatan dan keselesaan.

“Sea Plane’ hanya terbang rendah beberapa meter dari paras laut, tetapi pantas melepasi gelombang dan boleh mendarat di air/laut, sudah pasti sesuatu yang menyeronokkan juga menikmati alam laut, pulau dan pantai dari atas tetapi tidaklah tinggi.

Sepatutnya kita telah lama memaju dan memanfaatkan pulau-pulau kita yang indah ini dengan berbagai kemudahan dan keselesaan, termasuk penggunaan ‘sea plane’ itu.
Pada masa yang sama, pulau, pantai dan laut hendaklah dipantau dengan sebaiknya supaya pengurusan dan penjagaan keindahan berterusan, penjagaan koral dan taman laut kita perlu dipastikan juga terus terpelihara.

“Sea plane’ sudah tentu akan menjanakan industri pelancongan Terengganu dan menjadi daya tarikan dan pertumbuhan ekonomi yang akan dinikmati bersama. 


   

No comments:

Post a Comment