Wednesday 15 April 2015

KPDNKK Terengganu Pantau Dakwaan Harga Bahan Mentah Keropok Ikan Melambung Tinggi


DSCN0740
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memantau pengusaha-pengusaha keropok di Terengganu berikutan dakwaan yang mengatakan harga bahan mentah membuat makanan tradisional itu meningkat sehingga 200 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Roslee Daud berkata, rungutan pengusaha keropok di negeri ini terutama pengusaha di Kampung Losong yang menyatakan perniagaan mereka merosot disebabkan bahan mentah meningkat sejak penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada 1 April lepas.
“Pada saya rungutan ini bukan tidak boleh diterima, tetapi kita akan membuat pemantauan dalam masa terdekat ini berikutan dakwaan itu.
Apa yang kita faham, CBP hanya mengenakan cukai enam peratus ke atas barangan yang telah dikenal pasti tetapi dalam hal ini, barang utama buatan keropok iaitu ikan tidak dikenakan CBP,” katanya ketika ditemui pemberita di sini Selasa.
Sebuah akhbar pada Isnin melaporkan pengusaha keropok di Kampung Losong di Kuala Terengganu berada dalam dilema setelah pelanggan merungut disebabkan kenaikan harga keropok berikutan bahan mentahnya meningkat sejak CBP diperkenal.
Roslee berkata, dakwaan kenaikan harga bahan mentah sehingga 200 peratus adalah melampau berbanding kadar CBP yang hanya enam peratus dan sehubungan itu KPDNKK akan membuat pemantauan dan penyiasatan segera.
“Pengusaha kalau hendak kaya cepat pun, usahlah mengambil kesempatan menaikkan harga kerana ia boleh menyebabkan orang ramai atau pelancong tidak boleh terima dan ia akan merugikan pengusaha sendiri,” katanya.
Sementara itu Ketua Cawangan KPDNKK Dungun Mohamad Hisham berkata, jika orang ramai mendapati pengusaha keropok menaikkan harga jualan sewenang-wenangnya, mereka boleh membuat aduan ke pejabat KPDNKK yang berdekatan di seluruh negeri ini.
“Kita akan mengeluarkan Notis Seksyen 21 kepada pengusaha keropok berhubung kenaikan harga barang yang dijual untuk mendapat maklumat berkenaan kenaikan harga,” katanya.
sumber:bernama

No comments:

Post a Comment