Tuesday 14 April 2015

Empangan Paya Peda di Hulu Besut telah 98 peratus siap


Kerja-kerja pembinaan bahagian utama Empangan Paya Peda sedang giat dijalankan.
BESUT – Pembangunan Empangan Paya Peda di Hulu Besut dekat sini hampir 98 peratus siap dengan jangkaan pada Ogos nanti, kata Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Zulkifly Harun.
Katanya, sebaik siap projek tersebut, ia dijangka dapat menakung hujan di sekitar 7,500 hektar kawasan tadahan ke dalam kawasan takungannya yang mempunyai keluasan 1,200 hektar itu.
“Malah seramai 2,700 petani di Besut dan Setiu akan dapat limpahan bagi mengusahakan seluas 9,000 hektar tambahan kawasan padi, hasil kemudahan sistem pengairan yang dibekalkan Empangan Paya Beda nanti berbanding hanya 5,323 hektar sahaja ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dengan petani di Jabi dekat sini, hari ini.

Menurutnya dengan wujudnya sistem empangan lebih baik dari Empangan Paya Beda, para petani dijangka akan dapat mempertingkat hasil padi daripada 5.6 metrik tan sehektar kepada 6.5 metrik tan menjelang 2020.
Projek pembinaan empangan yang melibatkan kos RM349 juta yang dimulakan pembinaannya pada 2010 dan sepatutnya siap pada 30 November 2013 tetapi terlewat selama 1 tahun 4 bulan daripada jadual asalnya, bertujuan membekalkan air kepada 2,759 pesawah dalam Skim Pengairan Besut.
Ia merupakan takungan air yang terbesar di daerah itu bagi dimanfaatkan bukan sahaja untuk tanaman padi tetapi sebagai sumber bekalan air bersih kepada penduduk, kegiatan industri pelancongan di samping mengatasi masalah banjir.
Empangan itu yang mampu menakung 200 juta meter padu air itu mampu menakung antara 15 hingga 20 peratus air hujan yang turun di musim tengkujuh kelak bagi mengelak berlakunya banjir. – Bernama

No comments:

Post a Comment