Wednesday 8 April 2015

Anggota lembaga pengarah disaran isytihar harta – Ahmad Razif


Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman
KUALA TERENGGANU – Semua anggota lembaga pengarah kumpulan syarikat Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) disaran agar membuat pengisytiharan harta masing-masing bagi mencerminkan ketelusan mereka sepanjang berkhidmat di syarikat berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri sangat menggalakkan pengisytiharan harta dilakukan selaras dengan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang menekankan kepentingan ketelusan dan amanah dalam tugas yang dilakukan.
“Usaha ini akan dibantu Majlis Perundingan Integriti Negeri Terengganu (MPINT) yang ditubuhkan akhir Mac lalu bersama TISB.
Kita harap akan ramai pengarah syarikat kumpulan TISB berbuat demikian seterusnya mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap ketelusan dan sikap amanah mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program latihan untuk pengarah-pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri di sini hari ini.
MPINT yang dianggotai wakil 16 agensi kerajaan, institusi agama dan persatuan belia dilancarkan pada akhir Mac lalu berfungsi untuk menasihati kerajaan negeri dalam pelaksanaan integriti dengan tumpuan utama diberikan kepada sektor awam, swasta dan politik.
Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga menyarankan kakitangan kumpulan syarikat TISB agar membuat ikrar integriti seperti yang dilakukan kakitangan kerajaan negeri.
“Ikrar integriti akan membantu kakitangan GLC kerajaan negeri untuk sentiasa mempunyai tahap profesionalisme dan sikap amanah dalam tugas yang dijalankan.
Baru-baru ini, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) juga telah melakukan perkara yang sama dan diharap akan disusuli oleh syarikat GLC yang lain,” katanya.
Lebih 100 syarikat GLC kerajaan negeri menjalankankan pelbagai perniagaan termasuk, perladangan, kesihatan, perhotelan serta industri minyak dan gas. – Bernama

No comments:

Post a Comment