Wednesday 1 April 2015

229 Kes Keganasan Rumah Tangga Di Terengganu Sepanjang 2014

gambar sekadar hiasan
gambar sekadar hiasan
Sebanyak 229 kes keganasan rumah tangga dilaporkan berlaku di Terengganu sepanjang tahun lalu, kata Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita negeri Saharuddin Mohd Kia di sini.
Katanya berdasarkan statistik yang direkodkan Polis Diraja Malaysia, sebanyak 67 kes melibatkan lelaki manakala 162 kes lagi melibatkan keganasan terhadap wanita.
“Bagaimanapun, kes yang berlaku di Terengganu ini adalah dalam kategori sederhana jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain dan kami sentiasa mengadakan program kesedaran agar lebih ramai tampil ke depan membuat laporan agar tidak terus dianiaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar Literasi Undang-Undang, Respek Wanita: Bicara Gender dan Anti Keganasan Terhadap Wanita di sini Selasa.
Berdasarkan rekod, Perlis mencatatkan kes terendah keganasan rumah tangga dengan 78 kes, Kedah (398), Pulau Pinang (306), Perak (331), Selangor (667), Kuala Lumpur (201), Negeri Sembilan (459), Melaka (101), Johor (541), Pahang (229), Kelantan (621), Sabah (299) dan Sarawak (355) kes.
Shaharuddin berkata secara keseluruhannya, sebanyak 1,262 kes keganasan terhadap lelaki dan 3,545 keganasan terhadap wanita dilaporkan berlaku di negara ini sepanjang tahun lalu.
“Bagi statistik kesalahan mencabul kehormatan pula, sebanyak 52 kes melibatkan wanita dilaporkan berlaku di Terengganu dan dua kes melibatkan lelaki bagi kesalahan gangguan seksual di negeri ini,” katanya.
Statistik kesalahan luar tabii pula, Terengganu mencatatkan empat kes bagi wanita dan lima kes bagi lelaki pada 2014.
Bagi kesalahan rogol pula, sebanyak 112 kes dilaporkan di negeri ini sepanjang 2014 di Terengganu, katanya.
Saharuddin berkata sepanjang 2014, terdapat 2,480 aduan melibatkan pelbagai kes yang diterima Jabatan Pembangunan Wanita bagi seluruh negara dan ia menunjukkan peningkatan berbanding 2,278 pada 2013.
“Antara kes yang tertinggi dilaporkan ialah melibatkan bantuan kewangan niaga sebanyak 968 kes, pemerdagangan orang 460 kes dan bantuan kewangan 350 kes,” katanya.

No comments:

Post a Comment