Monday 23 February 2015

Bayi maut dipatuk ular senduk ketika tidur (4 Gambar)

PUTERI MIA meninggal dunia selepas betis kaki kanannya dipatuk seekor ular senduk di Temerloh malam kelmarin.
TEMERLOH – Seorang bayi perempuan berusia setahun meninggal dunia akibat dipatuk ular senduk ketika tidur bersama ibunya di sebuah rumah di Perkampungan Orang Asli Kampung Paya Badak di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, Puteri Mia Nazilla Ramis disahkan meninggal dunia di tempat kejadian walaupun keluarganya dikatakan cuba merawat bayi tersebut menggunakan kaedah tradisional selepas kaki kanannya dipatuk ular berkenaan.
Nenek mangsa, Rokiah Gemok, 54, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan ibu mangsa, Nor Fazillah Najim yang berada bersama Puteri Mia di dalam sebuah bilik.
“Dia menjerit kerana ternampak ular senduk menyusur keluar dari biliknya dan dalam keadaan kelam-kabut itu saya pun bertindak membawa keluar Puteri Mia.
PUTRI Mia maut dipatuk ular senduk di kaki.
“Saya sempat melihat ular itu menyorok di bahagian bawah karpet.
“Hanya selepas keadaan kembali tenang baru kami sedar Puteri Mia tidak sedarkan diri. Saya cuba merawatnya dengan cara kampung menggunakan daun dan kayu herba untuk mengurangkan bisa merebak, tetapi Puteri Mia sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. -Kosmo

No comments:

Post a Comment