Monday 12 January 2015

TNB sumbang keperluan persekolahan di Dungun

                      
TNB sumbang keperluan persekolahan di Dungun.
DUNGUN – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini memberi sumbangan peralatan persekolahan kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pulut yang terjejas banjir baru-baru ini.
Ketua Tanggungjawab Korporat TNB, Ahmad Zaki Rasid berkata sumbangan yang disalurkan kepada 310 murid sekolah itu berupa pakaian seragam sekolah, beg serta beberapa barangan lain.
Beliau berkata sumbangan hasil kutipan derma yang dilakukan sejak 15 Disember lepas adalah inisiatif kakitangan TNB sebagai tanda prihatin kepada sekolah angkat TNB.
“Sebanyak RM77,500 barangan sekolah serta keperluan asas akan kita agihkan kepada sekolah angkat. Malah, beberapa kampung di daerah ini yang terjejas akibat banjir juga akan kita agihkan keperluan tersebut.
“Selain itu, bantuan juga akan diberikan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Pahang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu di sini hari ini.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Marina Abu Bakar, 47, berkata sumbangan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak meringankan bebannya selepas peralatan sekolah yang dibeli sebelum musibah itu telahpun ditenggelami air.
Sebelum ini, beliau membelanjakan kira-kira RM200 bagi membeli barang keperluan persekolahan anak bongsunya yang berusia lapan tahun itu.
“Alhamdulillah, sebenarnya saya tidak sempat pun membeli pakaian sekolah anak sebab sibuk membersihkan rumah. Kalau TNB tidak hulurkan bantuan, alamatnya anak saya akan pakai pakaian yang pernah ditenggelami air banjir itu esok,” katanya.
Terengganu, Kelantan, Kedah dan Johor akan memulakan sesi persekolahan esok manakala negeri-negeri lain sesi persekolahannya bermula Isnin.
Seorang pelajar Tahun Dua SK Padang Pulut, Abdul Halim Ahmad, 8, ketika ditemui berkata semasa banjir melanda rumahnya di Kampung Padang Pulut dua minggu lalu, kesemua buku dan pakaian sekolahnya ditenggelami air.
“Mestilah saya sedih tengok baju, kasut, buku-buku semua tenggelam. Tapi hari ini TNB sudah gantikan peralatan sekolah saya yang rosak dan saya tak sabar nak ke sekolah esok,” katanya yang juga tidak sabar mahu berjumpa dengan rakan-rakan yang lain. – Bernama

No comments:

Post a Comment