Wednesday 28 January 2015

Terengganu juara ragbi kolej vokasional 2015

Barisan pemain Terengganu yang muncul juara cup pada Karnival Ragbi Antarabangsa Perlis 2015 edisi ke-5.
TERENGGANU muncul juara cup kategori antara kolej vokasional pada Karnival Ragbi Antarabangsa Perlis 2015 edisi ke-5 yang berakhir di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Arau, Ahad lalu.
Pada aksi pentas final itu, Terengganu yang diwakili Kolej Vokasional Wakaf Tembesu (KVWT), berjaya menundukkan pasukan pilihan, Kolej Vokasional Arau dengan 21-7, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan piala pusingan, manakala pasukan tuan rumah hanya berpuas hati meraih gelaran naib juara menerima RM700.
Lebih manis, dua lagi pasukan rabgi Terengganu turut dinobatkan selaku juara plate menerusi kategori bawah 18 dan 21 tahun.
Pengendali, pasukan KVWT, Zulkarnain Moh Zawawi mengakui amat berbangga dengan pencapaian anak buahnya apabila berjaya merangkul kejuaraan buat julung kalinya pada kejohanan itu, dan menyifatkan persediaan selama dua tahun menjadi kunci kejayaan.
Menurutnya, sebelum ini pasukannya pernah meraih hatrik kejayaan dalam Kejohanan Rabgi Kolej Vokasional peringkat kebangsaan dan ia menjadi pendorong buat anak buahnya dalam melakarkan kemenangan pada kali ini.
“Alhamdulillah, pemain berjaya memberi komitmen terbaik sepanjang perlawanan dan kejayaan ini suntikan semangat buat pasukan menyertai kejohanan Terbuka Universiti Sains Malaysia (USM) bulan depan,” katanya.
Pada kejohanan pembuka tirai kalender Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) 2015 itu, sebanyak 56 pasukan termasuk lima pasukan luar negara iaitu Singapura (2), Brunei (1) dan Thailand (2) berentap bagi merebut juara dalam tiga kategori yang dipertandingkan. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment