Monday 19 January 2015

Taman Pertanian Sekayu dibuka bulan depan

Kolam tema yang merupakan antara lokasi tumpuan pengunjung TPNS kini dipenuhi pasir dan lumpur.
SEKAYU – Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS) yang turut terjejas banjir, dijangka dibuka semula buat pengunjung pada pertengahan Februari depan setelah kerja penyelenggaraan dan kebersihan selesai dilaksanakan.
Pengurus TPNS, Mohd Amran Awang berkata, beberapa kemudahan dan lokasi tumpuan pengunjung dinaiki air sedalam dua meter lebih seminggu menyebabkan pelbagai kerosakan berlaku di dewan terbuka serta asrama lelaki dan wanita, selain hakisan tebing.
Justeru katanya, pihaknya menganggarkan jumlah kerosakan infrastruktur termasuk jambatan konkrit, serta ternakan lebah dan kelulut bernilai lebih RM150,000.
“Kita baru memulakan kerja kebersihan minggu ini kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan. Memandangkan kerosakan dan kesan banjir begitu teruk, kerja berkaitan pasti mengambil masa lama, apatah lagi sumber tenaga begitu terhad kerana kakitangan TPNS ada 20 orang sahaja.
“Kita cuma jangka taman ini dibuka awal bulan depan, tetapi bergantung pada keadaan. Kedua-dua kolam tema di sini masih dipenuhi pasir dan lumpur setebal 0.6 meter akibat air dari hulu Sungai Buboh yang melimpah ke kawasan TPNS ini,” katanya, semalam.
Sehubungan itu, kata Mohd Amran, pihaknya mengalu-alukan kedatangan sukarelawan untuk bergotong-royong membersihkan TPNS supaya taman itu dapat dibuka secepat mungkin.
Menurutnya, taman itu dinaiki air saban tahun membabitkan jumlah kerosakan sekitar RM30,000, tetapi dalam kejadian baru-baru ini, bukan hanya 200 kerusi meja hanyut dan 20 tilam rosak, malah jambatan sepanjang kira-kira 20 meter turut runtuh.
“Tapak perkhemahan sekitar 0.2 hektar juga masih dipenuhi pasir dan lumpur. Kawasan ini perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum mengadakan aktiviti terutama melibatkan pihak sekolah dan institusi pendidikan,” katanya. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment