KUALA NERUS – Seramai 27 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang (mumtaz) yang diumumkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, semalam.
Keputusan itu juga menunjukkan pencapaian STAM pada kali ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Zakaria Hussin berkata, Gred Purata Negeri (GPN) bagi calon sekolah kerajaan mencatatkan 2.20 peratus berbanding 2.38 pada tahun lepas dan keputusan itu menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 0.18 peratus pada 2014.
Begitu juga dengan Gred Purata Nasional iaitu sebanyak 3.22 peratus mengatasi GPN sebanyak 1.02 peratus pada kali ini.
“Alhamdulillah kejayaan hari ini, disumbangkan oleh 27 pelajar yang mendapat keputusan mumtaz (cemerlang) dan daripada jumlah itu seramai sembilan orang dari sekolah agama kerajaan manakala 18 lagi calon dari institusi kerajaan negeri.
“Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin, Institut Al-Quran (IQ) dan Institut Pengajian Islam Kemaman (Inspi),” katanya ketika mengadakan sidang media di IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Batu Rakit.
Razali berkata, dua calon dari SMA Atas Sultan Zainal Abidin iaitu Mohd Hafiz Izzudin Ahmad Ridzwan dan Adleen Nur Mustafa Kamal memperoleh 10 mumtaz.
Manakala seorang calon mendapat keputusan 9 mumtaz, 1 jayyid jiddan iaitu Nur ‘Ain Zahirah Zulkifli dari IQ dan empat lagi mendapat 8 mumtaz, 2 jayyid jiddan, masing-masing dua dari SMA Atas Sultan Zainal Abidin dan seorang di IQ serta Inspi.
Calon STAM yang menduduki peperiksaan bagi 2014 adalah seramai 113 dan 42 daripada jumlah itu dari sekolah agama kerajaan manakala calon institusi kerajaan negeri (71) dan calon persendirian (32). -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment