Monday 12 January 2015

Isu Dakwat Kekal: Mejar TUDM Dibuang Kerja

KUALA LUMPUR: Pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad dihukum buang kerja daripada perkhidmatan Yang di-Pertuan Agong, oleh Mahkamah Tentera di sini hari ini.
Hukuman itu diputuskan selepas dia didapati bersalah atas dua tuduhan berkaitan isu dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan menyiarkan maklumat mengenai pertukaran kerjanya, pada tahun 2013.
Panel lima hakim mahkamah, diketuai Yang Dipertua, Kolonel Saadoon Hassan membuat keputusan itu terhadap Zaidi, 45, selepas mendapati tertuduh bersalah atas kedua-dua pertuduhan terbabit.
Dalam penghakimannya, Saadoon berkata mahkamah mendapati tindakan tertuduh dengan hanya mendiamkan diri sudah cukup untuk mensabitkannya terhadap pertuduhan berkenaan.
"Dalam membuat keputusan ini, mahkamah secara keseluruhan menilai keterangan kedua-dua pihak, dengan mengambil penilaian secara maksimum.
"Sehubungan itu, mahkamah memutuskan tertuduh bersalah atas pertuduhan berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment