Monday 19 January 2015

Bagai tahu bakal dijemput ajal



Balik Pulau: “Kalau aku kemalangan dan cedera parah, aku teringin sangat untuk lihat bagaimana

reaksi orang yang aku sayang, di saat aku penuh berlumuran darah. Nak tahu siapa teringin lihat

senyuman dan gelak ketawa aku.

“Entah di hospital atau kubur, jika meninggal dunia, berharap agar orang yang aku sayang datang

menziarahi kubur aku dan sedekahkan al-Fatihah buat aku, tapi tolong jangan menangis depan

jenazah aku kerana ketika itu aku sudah tidak berdaya untuk lapkan air mata.”

Demikian antara pesanan terakhir Mohd Hafiz Abu Salem, 23, pada status aplikasi WeChat yang

dikemas kini Khamis lalu, sebelum meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan di Kampung

Nelayan di sini, petang kelmarin.

Abang arwah, Jaslly Abu Salem, 33, berkata, dia tidak menyedari adiknya ada mengemas kini status

pada aplikasi WeChat berkenaan dan hanya menyedari perkara itu selepas dimaklumkan rakan

adiknya pada malam kejadian (malam kelmarin).

“Saya hampir menitiskan air mata membaca status itu kerana masih berat untuk menerima

pemergiannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Masjid di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 petang, Mohd Hafiz, yang menunggang motosikal terlanggar tiang elektrik

ketika cuba mengelak sebuah kereta yang membuat pusingan ‘U’ secara tiba-tiba.

Jaslly berkata, akibat kejadian itu, arwah adiknya cedera parah di kepala, badan serta kaki kanan

dan dia yang dimaklumkan perkara itu terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika sampai di lokasi kejadian arwah masih bernafas, namun saya berasa amat hiba selepas

melihat keadaan adik sendiri yang lemah dan tidak bermaya.

“Mungkin saya bernasib baik kerana dapat menatap wajah arwah ketika dia masih hidup sebelum

menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Katanya, ibunya sempat ke lokasi kejadian, namun pengsan melihat keadaan Mohd Hafiz yang

sedang nazak.

“Saya harap sangat dia (pemandu) itu datang berjumpa saya dan keluarga meminta maaf berhubung

kejadian yang meragut nyawa adik saya,” katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Teluk Kumbar, jam

10 malam, kelmarin.

STATUS Mohd Hafiz di aplikasi WeChat beberapa hari sebelum terlibat dalam
 kemalangan maut di Kampung Nelayan.

No comments:

Post a Comment