Thursday 1 January 2015

SSNT Lancar Sukarelawan Banjir Pantai Timur

                           IMG-20141231-WA0052
Lebih 1,500 orang sukarelawan Skuad Sukarelawan Negeri Terengganu (SSNT) akan digerakkan untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur terutamanya Dungun dan Kemaman.

Menurut Pengerusi SSNT, Mohd Johari Abu Bakar, ketika ini kesemua mereka yang telah mendaftarkan diri berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menyertai operasi pasca banjir.

Katanya, SSNT yang ditubuhkan sejak seminggu lalu akan digerakkan ke Dungun dan Kemaman bermula hari ini.

“Buat masa ini, skuad ini fokus kepada kerja-kerja pemulihan selepas banjir seperti membersihkan kawasan terjejas temasuk mengumpulkan bantuan dan sumbangan orang ramai.

“Kami akan berkampung di Dungun dan Kemaman selama seminggu untuk membantu memulihkan kawasan terjejas banjir,” katanya kepada teganukita hari ini.

SSNT terdiri daripada lebih 30 badan gabungan yang terdiri daripada pertubuhan belia, badan bukan kerajaan (NGO), parti politik, agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Gabungan itu terdiri daripada Pemuda UMNO, Puteri UMNO, Majlis Belia Negeri Terengganu, Gerakan Belia 4B (M) Negeri, Sahabat Belia, MAYC Terengganu dan Majlis Belia Daerah.

Selain pasukan pacuan empat roda dan kelab motor, SSNT turut melibatkan penyertaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej TESDEC.

Agensi kerajaan seperti Jabatan Belia dan Sukan, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (ATRA), Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah turut serta dalam menggerakkan skuad itu.

Tambah Mohd. Johari, skuad itu sedia menerima pelbagai bentuk sumbangan daripada orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Kami telah membuka bilik gerakan di Pejabat Belia dan Sukan Negeri di Pasir Panjang, Kuala Terengganu untuk mengumpul sumbangan daripada orang ramai, NGO dan syarikat korporat,” ujarnya.

SSNT turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk bersama-sama skuad itu dan pendaftaran boleh dibuat melalui Setiausaha SSNT (Muhammad Rosdi Mat Zin – 013-9716585), Penolong Setiausaha SSNT (Tuan Azman Tuan Alias – 019-9519782) dan Urusetia SSNT (Laila Mat Daud – 013-9336044).

No comments:

Post a Comment