Monday 29 December 2014

Ketengah nafi jalan ke Pengkalan Gawi ditutup

              
Keadaan sebatang jalan di Pengkalan Gawi yang rosak teruk akibat pergerakan tanah dan ia melibatkan jalan alternatif bukannya jalan utama.
PENGKALAN GAWI – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menafikan dakwaan khabar angin kononnya laluan ke Pengkalan Gawi di sini, ditutup berikutan kerosakan jalan yang teruk dan retak akibat pergerakan tanah dipercayai berpunca daripada aliran air.
Pengurus Korporat Ketengah, Rosli Ngah berkata, kejadian itu sememangnya terjadi tetapi ia tidak melibatkan jalan utama ke kawasan pelancongan berkenaan, sebaliknya hanya laluan alternatif sering digunakan kakitangan untuk ke Pejabat Ketengah di Pengkalan Gawi.
“Hujan lebat berterusan beberapa hari menyebabkan struktur jalan yang berbukit ini mulai rosak akibat berlakunya pergerakan tanah sepanjang kira-kira 50 meter. Bagaimanapun, kami telah ambil tindakan segera dengan menutup laluan tersebut.
“Walaupun ia bukan laluan utama pelancong, perkara ini telah dilaporkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tindakan segera akan diambil selepas keadaan hujan dan cuaca bertambah baik. Orang ramai tidak perlu risau untuk ke Pengkalan Gawi dan bercuti di Tasik Kenyir,” katanya.
Beliau berkata, laluan utama ke Pengkalan Gawi masih dapat dilalui seperti biasa kerana hanya jalan alternatif ke Pejabat Ketengah sebenarnya ditutup.-Sinar Harian

No comments:

Post a Comment