Wednesday 24 December 2014

Kelantan belum isytihar darurat

                           

KOTA BHARU – Kerajaan negeri masih belum mengisytiharkan darurat melanda Kelantan walaupun bencana alam tersebut melanda sejak beberapa minggu yang lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sehingga kini pihaknya masih berupaya menangani bencana alam itu dan telah memperuntukkan RM10,000 kepada setiap wakil untuk membantu meringankan beban mereka yang terlibat di setiap kawasan.

“Selain itu juga kami turut memperuntukkan RM120,000 kepada pasukan Yayasan Amal untuk bergerak melalui inisiatif ‘Dapur Rakyat’ bagi membantu membawa bekalan makanan kepada mereka yang mungkin tidak dapat berpindah dengan segera ke pusat pemindahan.

“Selain itu juga kita juga menggunakan perkhidmatan lima helikopter bagi membawa bekalan makanan untuk mangsa-mangsa di Kuala Krai, Dabong, Jeli dan Gua Musang,”katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di sini.

Ahmad turut menasihatkan orang ramai yang tinggal berdekatan dengan sungai ataupun di kawasan yang berdepan risiko banjir untuk berpindah lebih awal bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Unit Komunikasi Menteri Besar Kelantan

No comments:

Post a Comment