Wednesday 5 November 2014

Terengganu pinjam pemain perkuatkan pasukan



PERSATUAN Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) telah meminjam beberapa pemain bagi mengharungi kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2014 yang bermula 14 November.
 
Setiausaha PBSMT Wan Ahmad Kamarudin Wan Mohamad berkata antara pemain tersebut ialah Mohd Nor Hakim Hassan dari pasukan Liga Super Terengganu dan Mohd Badrul Hisyam Morris dari T-Team, masing-masing di posisi pertahanan.
    
"Pemain-pemain itu sememangnya berkebolehan dan mampu membantu kita dalam usaha merebut kejuaraan. Sudah lebih 10 tahun kami tidak menikmati kejuaraan selepas kali terakhir pada tahun 2003," katanya kepada Bernama.
    
Terengganu diundi dalam Kumpulan B bersama Johor, Perak dan Pahang.
    
Pusingan awal akan berlangsung di Kuantan selama tiga hari sehingga 16 Nov dengan dua pasukan terbaik kumpulan akan melayakkan diri ke pusingan suku akhir.
   
"Berdasarkan prestasi semasa pemain kita, insya-Allah Terengganu akan dapat melepasi cabaran di peringkat kumpulan," kata Wan Ahmad Kamarudin.
    
Beliau berkata Terengganu yang dibimbing Othman Mat Khiar telah menyenarai 22 pemain untuk menggalas cabaran. - Bernama

No comments:

Post a Comment