Tuesday 25 November 2014

Sriwijaya Air tawar penerbangan dari Kuala Terengganu ke bandar China

Penerbangan Pertama Sriwijaya Air/You Wings dari Medan ke Kuala Terengganu di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) semalam.
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat penerbangan ketiga terbesar Indonesia, Sriwijaya Air akan melakukan penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke sebuah bandar di China, mulai tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee, berkata pihaknya kini mengenalpasti tiga bandar di negara itu dan akan memilih satu daripadanya.
Beliau berkata, pihaknya kini juga sedang melakukan rundingan bagi merealisasikan penerbangan terus itu yang dijangka dilakukan tahun depan.
Kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat penerbangan Sriwijaya Air untuk penerbangan terus dari Medan ke Kuala Terengganu.
“Sekiranya penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke sebuah bandar China menjadi kenyataan, maka kita menjangkakan pelancong dari negara itu bertambah.
“Setakat ini masih lagi dalam rundingan dan kita akan membuat pilihan terbaik memilih sebuah bandar di China untuk kepentingan kedua belah pihak,” katanya sempena Penerbangan Pertama Sriwijaya Air/You Wings dari Medan ke Kuala Terengganu di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, hari ini.
Pesawat jenis Boeing 737 500W itu membawa seramai 45 penumpang membabitkan rombongan delegasi dari Medan diketuai Timbalan Ekonomi dan Pembangunan Sumatera Utara, R Sabrina.
Mohd Jidin berkata, pihaknya akan menyediakan penerbangan terus tiga kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Namu, Medan, Indonesia.
Katanya, pihaknya mensasarkan seramai 5,000 hingga 7,000 pelancong dari Medan akan mengunjungi negeri ini melalui pakej pelancongan yang dirancangkan agensi pelancongan dari Medan dan Terengganu.
“Kita yakin dengan adanya penerbangan terus dari Medan ke negeri ini akan diberi manfaat yang besar kepada pelancong kerana difahamkan permintaan cukup tinggi.
“Kita jangkakan permintaan melebihi sasaran 7,000 pelancong kerana ia membabitkan tiga negeri Pantai Timur, Terengganu, Pahang dan Kelantan akan menggunakan penerbangan terus ini,” katanya.
Sementara itu, Sabrina berkata pihaknya berharap kerjasama ini akan membuka peluang kepada agensi pelancongan dari Medan dan Terengganu dapat mengetengahkan serta mempromosi produk masing-masing.
“Kami sangat gembira dengan jalinan kerjasama ini dan kita mengharapkan kehadiran pelancong dari Malaysia terutama Terengganu ke Medan meningkat,” katanya.

No comments:

Post a Comment