Monday, 17 November 2014

Pusat Kemahiran Dan Latihan Ukiran Kayu Bakal Ditubuhkan Di Besut

                                    

Kerajaan negeri bersama sama dengan beberapa agensi yang dilantik akan mempelbagaikan usaha untuk mempertahankan seni warisan negeri yang semakin dilupakan dari terus tenggelam ditelan arus kemodenan dunia.
Seni warisan negeri Terengganu meliputi pelbagai jenis produk terutamanya batik, songket, produk makanan tradisional seperti keropok lekor yang cukup dikenali di seluruh Malaysia, namun terdapat satu produk yang kurang dikenali tetapi mampu membawa nama Terengganu ke peringkat global iaitu produk perkayuan.
Menteri Besar Terengganu, YAB Dato Ahmad Razif Abdul Rahman ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Pameran Perkayuan Antarabangsa Terengganu di Terengganu Trade Centre hari ni berkata, di dalam bajet 2015, akan disediakan peruntukan untuk menjalankan kajian mengenai industri kayu kerana ianya mampu untuk menjana pendapatan negeri dari sumber yang sedia ada dan juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada belia yang berminat terhadap bidang ini.
Dalam ucapan beliau, kerajaan negeri akan mempertahankan seni warisan dan kebudayaan negeri ini disamping melakukan kepelbagaian dan penambahbaikan terhadap sesuatu produk untuk dikomersialkan ke peringkat antarabangsa terutamanya industri perkayuan.
Dato Ahmad Razif turut menegaskan bahawa transformasi terhadap produk-produk seperti ini perlu dilaksanakan untuk menambahkan nilai dan kualiti serta mengeluarkan produk yang baru tanpa mengubah keasliannya sekaligus dapat menanbah pendapatan para usahawan tempatan.
Justeru itu, Kerajaan negeri dengan kerjasama Terengganu Timber Industry and Training Centre (TTITC) dan kementerian berkaitan akan melakukan perbincangan terperinci untuk menubuhkan sebuah pusat kemahiran dan latihan ukiran perkayuan yang akan ditubuhkan di Besut bagi melatih golongan belia tempatan mempelajari asas seni ukiran kayu.
Diharapkan dengan usaha ini, ianya mampu menarik golongan belia terhadap bidang perkayuan dan seni ukiran kayu kerana kayu sememangnya mendapat sambutan dan permintaan yang cukup tinggi dikalangan pengusaha perabot sama ada di dalam negara mahupun dari luar negara kerana nilai dan kualitinya yang baik.
Dalam pada itu, pameran yang berlangsung selama tiga hari ini adalah anjuran bersama Lembaga Perindustrrian Kayu Malaysia,Universiti Sultan Zainal Abidin dan TTITC serta disokong oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dan Terengganu Incorporated turut mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Record kerana berjaya melaksanakan sebuah pameran perkayuan terbesar pertama di Malaysia dengan penyertaan dari 50 agensi termasuk dari luar negara.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi, Dato Noriah Kasnom, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu , Dato Mohd Zubir Embong, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia Dr Jalaludin Harun,Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin Professor Datuk Dr Yahya Ibrahim, dan Pengerusi TTITC, YB Dato Rozi Mamat.

No comments:

Post a Comment