Thursday, 27 November 2014

Paulo Rangel, Hassan perkuat Terengganu

                 Paulo Rangel do Nascimento Gomes
                                             Paulo Rangel do Nascimento Gomes

BEKAS penyerang import Selangor, Paulo Rangel dari Brazil dan pemain kebangsaan Lubnan, Hassan Chaito akan memperkuatkan cabaran Terengganu dalam kempen Liga Super 2015.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PNSNT), Arpin Deraman berkata, Rangel dan Hassan, masing-masing hari ini menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Terengganu selama dua tahun dan setahun. 

"Dengan kehadiran Rangel dan Hassan, maka lengkaplah empat pemain import Terengganu bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan," katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, Terengganu sudah mempunyai dua pemain import iaitu pemain pertahanan Vincent Bikana, 22, dari Cameroon dan Gustavo Fabian Lopez, 31, dari Argentina.

Hassan, 25, bekas pemain tengah pasukan Al-Shahab, Lubnan musim 2013-2014, akan menggantikan Mario Karlovic dari Australia yang tidak disambung kontrak.

Sementara, Rangel, 29, merupakan penjaring terbanyak Liga Super 2014 dengan 16 gol ketika beraksi bersama pasukan Selangor.

Arpin berharap Hassan dan Rangel mampu menyinar dan menjadi tonggak utama pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu.

Katanya, bekas pemain pertahanan Selangor PKNS, Helmi Remeli turut menandatangani kontrak untuk beraksi dengan Terengganu musim depan.

Beliau turut mengesahkan kesemua pemain tempatan musim 2014 termasuk Abdul Manaf Mamat kekal bersama pasukan berkenaan tahun depan.

"Malah, kami juga serap empat pemain pasukan Piala Presiden ke pasukan Liga Super Terengganu," katanya.



No comments:

Post a Comment