Thursday 8 October 2015

Ramzul sedia diturunkan T-Team ketika temu Selangor


Ramzul (kanan) sedia diturunkan bertemu Selangor Sabtu ini.
KUALA TERENGGANU: Selepas berehat panjang, penyerang T-Team Mohamad Ramzul Zahini Adenan akan diturunkan apabila pasukan berstatus kelab itu bertemu Selangor dalam kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 17 Oktober ini.
Penolong jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim, berkata Mohamad Ramzul kini berada dalam keadaan cergas dan bersedia untuk diturunkan selepas pulih daripada kecederaan yang dialaminya, lapan bulan lepas.
“Tahun lalu Ramzul adalah pemain utama T-Team, beliau sudah berehat kira-kira lapan bulan kerana menjalani pembedahan di lutut,” katanya kepada Bernama ketika mengulas mengenai pemain berkenaan.
Mohd Azhari berkata dua lagi pemain harapan T-Team, Nor Hakim Hasan dan Ahmad Takiyuddin Roslan, pemain sayap kiri dan kanan juga sudah pulih dari kecederaan dan akan diturunkan dalam perlawanan itu.
Beliau yakin pasukan T-Team akan bertambah mantap terutamanya di bahagian serangan dengan kembalinya ketiga-tiga pemain itu dalam kesebelasan utama.
AKSI pemain T-Team, Sadriddin Abdullaev (tengah) yang diasak pemain FELDA United, Fernandes Thigo Augusto (kiri) dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu lalu. 
Mengulas mengenai peluang T-Team, beliau berkata peluang pasukan itu untuk mengatasi Selangor dalam perlawanan berkenaan sangat baik kerana semua pemain utama pasukan itu bebas dari kecederaan. T-Team tewas 0-1 di tangan Selangor dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, bulan lalu.
“Barisan penyudah kita sekarang semakin menjadi dan kita harap momentum ini dikekalkan ketika bertemu Selangor nanti,” katanya.
Azhari berkata latihan pasukan T-Team diberhentikan baru-baru ini disebabkan jerebu kuat tetapi akan disambung semula hari ini memandangkan keadaan semakin bertambah pulih. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment