Thursday 8 October 2015

Kes Murid Orang Asli Hilang: Mayat Dikenal Pasti Sasa Sobrie


MAYAT seorang kanak-kanak perempuan lingkungan 7 – 9 tahun yang ditemui di dalam Sungai Perias berhampiran Pos Tohoi, kira-kira 500 meter dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk dibedah siasat.
GUA MUSANG – Proses pengecaman mayat kanak-kanak perempuan dipercayai salah seorang daripada tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang dilaporkan hilang sejak 23 Ogos lalu dilakukan Khamis.
Pihak media tempatan di Kelantan difahamkan, keluarga kesemua kanak-kanak malang terbabit sudah pun dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) di sini untuk tujuan tersebut pada waktu tengah hari.
(TERKINI: Dalam pada itu, portal berita tempatan, AgendaDaily melaporkan siasatan awal pihak polis mendapati mayat kanak-kanak tersebut ialah Sasa Sobrie yang berusia 8 tahun.)
Ujian deoxyribonucleic acid (DNA) juga akan dibuat oleh ahli keluarga terbabit oleh pihak hospital tersebut bagi memudahkan pengesahan identiti sebenar mayat berkenaan berikutan keadaannya yang ditemui reput.
SASA SOBRIE
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah yang ditemui pemberita, proses bedah siasat jenazah sudah dijalankan, dan kini hanya menunggu proses pengecaman.
“Proses DNA berkenaan akan dibuat tengah hari (Khamis) selepas semua ahli keluarga kepada tujuh kanak-kanak yang hilang terbabit tiba di HGM.
“Keadaan mayat yang reput dan terjejas menyukarkan proses pengecaman, malah ketiadaan tanda pengenalan diri pada mayat juga menjadikan sukar untuk mengenal pasti mangsa terbabit,” katanya.
Mayat kanak-kanak berusia antara tujuh hingga sembilan tahun itu ditemui di Sungai Perias kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi pada jam 7 malam Rabu oleh penduduk kampung sebelum mereka memaklumkan kepada pasukan penyelamat.
MISSING_ORANG_ASLI_PUPILS_290915_TMINAZIRSUFARI_17
Pada 23 Ogos lalu, seramai tujuh murid Orang Asli dari SK Tohoi di sini dilaporkan hilang dari asrama sekolah mereka di Pos Tohoi Gua Musang.
Tujuh mangsa yang hilang termasuk seorang kanak-kanak lelaki ialah Mirsudiar Aluj, 11; Norieen, 10; Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina Daud, 7.
Kanak-kanak ini dipercayai melarikan diri ke hutan berhampiran sekolah mereka selepas guru memberikan amaran akan dihukum kerana berenang di sungai berdekatan tanpa kebenaran.
Anggota tentera turut dikerah untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat ketujuh-tujuh murid berkenaan yang sehingga kini masih belum lagi ditemui.
Penemuan mayat reput itu berkemungkinan mampu memberi petunjuk baru dalam kes kehilangan misteri kanak-kanak malang berkenaan. – Agensi

No comments:

Post a Comment