Sejumlah 184 koleksi bekas arkitek, Datuk Seri Lim Chong Keat yang juga seorang jurufoto bebas dan pencinta alam sepanjang tempoh sedekad itu memaparkan panorama alam, kehidupan harian dan budaya masyarakat setempat di beberapa lokasi.
Turut dirakamkan termasuklah imej Istana Maziah, Kampung Cina, Pasar Besar Kedai Payang, bot, wau dan batik di samping rakaman kemeriahan suasana Pesta Main Pantai di sekitar Batu Rakit, Merang serta Batu Buruk.
Ketibaan Sultan Mizan disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pameran Fotografi tersebut, Datuk Mohd. Fadzli Yusof.
Menurut Mohd.Fadzli, pame­ran selama empat hari yang julung kali diadakan itu selaras dengan objektif pembentukan YDSM sebagai badan amal yang berpe­ranan dalam menyuburkan budaya serta seni kraf warisan dan pemeliharaan alam sekitar.
Katanya, kesemua koleksi gambar itu mencerminkan ketenteraman dan ketenangan alam sekitar khususnya di kawasan sepanjang pantai, semangat kekitaaan dan setiakawan dalam kalangan masyarakat nelayan, kekayaan seni bina dan pertukangan perahu serta peramian wau dan pembuatan batik.
“Pada dasarnya tujuan pa­meran ini adalah untuk meneguhkan rasa cinta kepada negeri. Bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas, saya percaya gambar-gambar ini membawa nostalgia mnakala bagi generasi muda, ini adalah platform terbaik untuk mereka melihat wajah silam.
“Banyak pengajaran yang boleh diteladani daripada gambar-gambar ini dalam kehidupan seha­rian kita antaranya nilai kerjasama, rasa cakna, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta seni kraf warisan,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Mengulas lanjut Mohd. Fadzli berkata, gambar-gambar itu akan turut dijual dengan sebahagian hasilnya akan didermakan kepada YDSM bagi membiayai pelbagai program kemasyarakatan.
Sebagai perancangan masa depan katanya, pihak YDSM turut berhasrat untuk membawa pameran itu ke Kuala Lumpur bagi membolehkan lebih ramai menyaksikan koleksi gambar tersebut.
Sementara itu, Chong Keat berkata, foto yang dipaparkan dipilih daripada ribuan keping dalam simpanannya hasil rakaman sepanjang kembaranya di negeri ini dan Batu Rakit menjadi salah satu lokasi pilihan kerana tarikan kehidupan masyarakat nelayan.