Wednesday 30 September 2015

Tasik ‘Pepsi Blue’ kawasan larangan

 

MARANG - Keindahan sebuah lombong tinggal yang kini menjadi sebuah tasik berwarna biru yang terletak berhampiran Taman Kalungan Mas, Rusila di sini, secara tiba-tiba menjadi perbualan ramai, terutama dalam kalangan mereka dari luar daerah ini.
Apa tidaknya, mereka dari luar daerah termasuk segelintir penduduk tinggal di kampung itu sebelum ini tidak mengetahui akan kewujudan tasik indah yang tersembunyi di sebalik bukit bukau berhampiran dengan taman perumahan berkenaan.
Bagaimanapun, apabila keindahannya kini hangat diperkatakan di laman sosial khususnya selepas viral di Facebook, ramai individu yang ingin melihat dengan mata mereka sendiri akan keindahan tasik berwarna biru yang dikatakan jarang dapat dilihat itu.
Malangnya, keindahan tempat itu bukan mudah untuk dinikmati kerana menurut sumber, selain lokasinya agak tersembunyi, tasik tersebut merupakan tasik larangan serta keadaan persekitarannya juga curam.

Penduduk berdekatan kawasan ini mendakwa tasik itu merupakan bekas lombong emas hingga menyebabkan ia tidak boleh diwartakan sebagai pusat pelancongan kerana air tasik mengandungi bahan kimia yang mampu menghakis kulit.



Pemandangan menakjubkan

Seorang penduduk yang ditemui Sinar Harian, Mohd Fazil Yusof, 30, mengakui pemandangan tasik larangan itu sangat menakjubkan sehingga rasa penat selepas melalui jalan curam serta berbatu ke kawasan itu akan hilang sejurus tiba di kawasan itu.
Menurutnya, tasik terletak berdekatan Taman Kalungan Mas itu juga bukti keindahan ciptaan Tuhan, malah ia turut dikenali sebagai tasik ‘Pepsi Blue’ oleh sesetengah pihak kerana air tasik berwarna biru gelap dilatari dengan pemandangan indah.
“Kecantikan tasik ini terhasil daripada kerja-kerja perlombongan emas dan mampu membuatkan pengunjung tertarik sebaik sahaja memandangnya, tetapi ia tidak sesuai untuk dijadikan kawasan berkelah atau mengadakan aktiviti lain.
“Dahulunya kawasan ini dipagar dengan kawat berduri, tetapi ada pihak yang mengalihkan kawat tersebut dan kini ia kelihatan seperti kawasan yang boleh dilawati, namun sebenarnya ia adalah sebuah kawasan larangan,” katanya semalam.

Pengunjung bertambah setiap hari
Menurutnya, kehadiran orang ramai kini juga semakin bertambah setiap hari bermula sejak sebulan lalu, malah ada keluarga yang membawa anak-anak kecil mereka untuk melihat keindahan tasik buatan manusia itu dari dekat walaupun ia berbahaya.
Mohd Fazil bersetuju sekiranya pihak berkaitan dapat menutup kawasan berkenaan kepada orang ramai, tambahan ada pihak khususnya remaja lelaki kini sanggup menggadai nyawa dengan terjun dari ketinggian 50 meter ke dalam tasik.

“Jika sekadar mengambil gambar kenangan dan pulang selepas itu, ia tidak menjadi satu kesalahan besar tetapi sekiranya menyalahgunakan tempat itu untuk mandi manda, ia mungkin mampu meragut nyawa mereka,” katanya.



Patuhi larangan ditetapkan

Dalam pada itu, Penghulu Mukim Rusila, Ibarahim Osman ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau telah mengadakan tinjauan ke kawasan tasik berkenaan bersama Pegawai Daerah Marang, Mohd Zulkefli Abu Bakar sebelum ini.
Menurutnya, semasa membuat tinjauan baru-baru ini, beliau turut mendapati kawasan tasik berkenaan berbahaya dan tidak sesuai dikunjungi orang ramai, malah kawasan itu juga tidak sesuai untuk sebarang aktiviti riadah.
Beliau memberitahu, semasa tinjauan itu juga pegawai daerah turut melahirkan rasa bimbang terhadap aktiviti mandi manda di kawasan berbahaya berkenaan, khususnya melibatkan golongan remaja dari dalam mahupun dari luar daerah ini.  
“Beliau (Mohd Zulkefli) memberitahu akan mengarahkan kakitangannya meletakkan notis peringatan termasuk larangan mandi manda di kawasan itu memandangkan keadaan di situ tidak selamat untuk dikunjungi, apa lagi untuk mandi manda.
“Sehubungan itu, kita berharap orang ramai dapat mematuhi larangan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Aktiviti mandi manda perlu dielakkan kerana aktiviti itu mampu untuk meragut nyawa sesiapa sahaja,” katanya. - SH

No comments:

Post a Comment