Sunday 9 August 2015

Pencermaran Bauksit Di Daerah Kuantan Selesai – Guna Jalan Keretapi Lama


bauksitKuantan Port Consortium Sdn. Bhd. (KPC) bercadang menggunakan landasan kereta api lama dari Kerteh, dekat sini sebagai pengangkutan alternatif bagi mengangkut bauksit ke Pelabuhan Kuantan.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Khasbullah A. Kadir berkata, laluan yang dicadangkan adalah sejauh tujuh kilometer bermula dari Sungai Ular di sini sehingga ke Kampung Selamat yang terletak bersebelahan dengan Pelabuhan Kuantan.
Menurut beliau, pihaknya telah menghantar kertas cadangan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan berharap dapat dipertimbangkan dengan kadar segera memandangkan landasan kereta api tersebut sudah tidak lagi digunakan.
”Laluan ini tidak melalui kawasan penempatan. Selain itu pokok-pokok di sepanjang laluan tersebut juga menjadi zon penampan supaya debu dan pencemaran yang mungkin timbul daripada operasi pengangkutan bauksit tidak merebak ke kawasan lain,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan 50 trak pengangkut KPC baharu yang lebih moden bagi memastikan operasi mengangkut bauksit di kawasan pelabuhan tidak mencemarkan persekitaran.
Menurut Khasbullah, faktor utama pencemaran bauksit di kawasan Pelabuhan Kuantan ialah jumlah bauksit yang perlu diuruskan KPC terlalu banyak yang kini dianggarkan berjumlah 20 juta tan setahun.
Jelasnya, negara lain seperti Indonesia sebelum ini turut mengeksport bauksit pada kuantiti yang besar iaitu dalam lingkungan 50 hingga 60 juta tan setahun namun ia dilakukan menerusi beberapa pelabuhan.
”Sedangkan di negara ini eksport bauksit hanya dilakukan menerusi Pelabuhan Kuantan disebabkan operasi perlombongan bahan mineral tersebut hanya tertumpu di sekitar daerah ini,” katanya.
Tambah beliau, KPC serius untuk mengurangkan tahap pencemaran yang berlaku akibat operasi eksport bauksit menerusi Pelabuhan Kuantan dan pihaknya membelanjakan sekitar RM2 juta sebulan untuk usaha tersebut. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment