KUALA TERENGGANU – Rasa bubur lambuk Terengganu yang berbeza dengan tempat lain berdasarkan ramuan dan isi ikannya yang manis sekali gus mengangkatnya menjadi produk pelancongan Islam terkenal di negeri ini.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu, Mohd Sabri Zakaria berkata, aktiviti pengagihan bubur lambuk kepada masyarakat setempat sepanjang Ramadan boleh dijadikan sebagai salah satu produk menarik ke arah mempromosikan pakej pelancongan Islam di negeri ini.
“Apabila kesemua produk itu digabungkan, secara tidak langsung dapat memeriahkan lagi pakej pelancongan Islam pada Ramadan terutama dalam kalangan pengunjung domestik yang ingin menikmati pengalaman berpuasa di negeri ini dan usaha tersebut selaras dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
“Tambahan pula, Ramadan adalah masa yang sesuai untuk pengunjung tempatan datang ke negeri ini, kerana kebanyakan hotel menawarkan harga promosi yang jauh lebih murah untuk penginapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Bubur Lambuk Industri Pelancongan dan Kebudayaan negeri di hadapan pejabat kementerian itu.
Beliau berkata, perbezaan bubur lambuk Terengganu adalah pada isi ikannya yang menjadi pemanis, selain menggunakan pelbagai ulam-ulaman seperti pucuk ubi, daun cekur manis, pucuk paku, kangkung, daun kadok dan daun kesom.
“Selain bubur lambuk dan pelbagai makanan tradisi lain, Terengganu turut mempunyai kelebihan iaitu masjid-masjidnya bukan sahaja besar dan cantik, malah dipenuhi pelbagai aktiviti seperti berbuka puasa di masjid, tazkirah serta aktiviti tadarus al-Quran sepanjang bulan mulia ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Sabri berkata, majlis yang julung kali diadakan itu bertujuan mewujudkan hubungan erat antara agensi di bawah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia negeri dengan penggiat industri.
“Majlis ini diadakan dengan kerjasama 10 agensi dan persatuan lain antaranya Tourism Malaysia Terengganu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Terengganu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Terengganu, Jabatan Arkib Negara Negeri Terengganu, Jabatan Warisan Zon Timur, Persatuan pemandu Pelancong Alam Semulajadi Negeri Terengganu (Tenaga) dan Persatuan Agensi Pelancongan dan pengembaraan Malaysia (Matta).
“Selain itu, kita juga bekerjasama dengan Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Terengganu (TTGA), Terengganu Backpakers dan pengamal media Terengganu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pengagihan 1,500 bubur lambuk itu adalah permulaan kepada pelbagai aktiviti membabitkan pihaknya, agensi dan industri pelancongan.
“Pada masa hadapan, kita rancang untuk mengadakan iftar beramai-ramai di Dataran Shahbandar dan kalau boleh, disediakan surau di sini dan imam bagi solat tarawih secara tidak langsung dapat menyemarakkan lagi ibadah pada bulan Ramadan,” katanya. -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment