Wednesday 27 May 2015

2,000 guru mohon tukar ke Terengganu


Guru luar negeri mohon ditukarkan ke Terengganu. -Gambar hiasan.
KUALA TERENGGANU – Hampir 2,000 guru dari luar negeri ini memohon kemasukan ke sekolah menengah dan rendah di seluruh Terengganu tahun ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, seramai 1,099 guru dari luar Terengganu mohon ditempatkan di sekolah menengah manakala 878 lagi di sekolah rendah.
“Saya harap guru yang memohon masuk ke Terengganu faham situasi keperluan sebenar iaitu mengutamakan guru opsyen Bahasa Inggeris.
“Proses keluar dan masuk guru ke sesebuah negeri adalah perkara biasa sepanjang tahun,” jelasnya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Budi Dijunjung Bakti Dipasak di SK Durian Burung, di sini.
Dalam masa sama, Shafruddin berkata, terdapat juga seramai 447 guru dari Terengganu memohon ditukarkan ke negeri lain.
“Seramai 148 guru dari sekolah menengah memohon keluar dari Terengganu manakala 124 lagi dari sekolah rendah,” katanya.
Tambahnya, bermula tahun ini, proses pergerakan keluar dan masuk guru diberi hak kepada pegawai pendidikan daerah (PPD).
“Kementerian Pelajaran telah perkenalkan sistem ‘traffic light’ (lampu isyarat) dengan memberi kuasa kepada PPD untuk menentukan pergerakan masuk dan keluar guru bermula tahun ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Shafruddin yakin dengan pertukaran guru Terengganu ke luar negeri mampu menunjukkan komitmen mereka walau di mana sahaja ditempatkan. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment