Tuesday 17 February 2015

Skuad Sukarelawan TTB jadi unit khas kerajaan negeri – Rozi Mamat

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.
Kerajaan negeri akan memperkasakan peranan Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) sebagai satu unit khas yang mematuhi  prosedur operasi standard  (SOP) pihak berwajib dalam setiap kerja sosial dan sukarelawan pasukan itu tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Sumber Manusia Negeri,  Dato’ Rozi Mamat, berkata unit yang ditubuhkan di bawah portfolio beliau akan memperuntukkan sejumlah bajet khusus dan pelantikan jawatankuasa bagi melancarkan pentadbiran serta mencapai hasrat penubuhannya selaras dengan konsep TTB.
“Sebagai orang yang bertanggungjawab dalam memperkasakan peranan belia di Terengganu, saya amat teruja malah tidak pernah menduga, hikmah di sebalik musibah banjir yang melanda negara khususnya Pantai Timur berjaya menerbitkan budaya muafakat, kasih-sayang dan jati diri yang luar biasa di kalangan orang muda.
“Biarpun pada hakikatnya, Skuad Sukarelawan TTB yang disertai anak muda  seawal 15 hingga 40 tahun sudah lama wujud, namun banjir yang lalu memberi impak yang besar dan membuka mata ramai mengenai  objektif serta sasaran penubuhannya,” katanya kepada teganukita.mybaru-baru ini.
Rozi berkata, keahliannya bertambah dengan mendadak dan mencecah sehingga 1,500 orang berikutan kesedaran yang tinggi di kalangan anak muda selepas melihat penderitaan ramai mangsa banjir  sekaligus bertujuan menjayakan misi kemanusian banjir di Machang, Dabong (Kelantan) serta Pekan dan Temerloh (Pahang), baru-baru ini.
Skuad Sukarelawan TTB ketika Misi Kemanusiaan Pasca Banjir di Dabong Kelantan baru-baru ini.
Katanya, pihaknya akan mengutamakan kualiti dan bukan semata-mata kuantiti supaya skuad itu nanti mampu menjadi model kepada badan-badan lain dalam melaksanakan kerja kebajikan sekaligus membentuk jati diri, solidariti  dan melahirkan modal insan yang berkualiti.
Tambah beliau, peranan skuad itu bukan sahaja membantu pasca banjir malah bersedia mengerah tenaga untuk sebarang kerja sosial yang lain seperti bergotong-royong membersihkan persekitaran masjid, pusat rekreasi dan juga rumah kebajikan.
Menurut  Rozi, pada masa akan datang setiap ahli akan dihantar menyertai  kursus tertentu termasuk latihan asas keselamatan seperti bantuan kecemasan, memadam kebakaran dan pengendalian bot supaya lebih bersedia berdepan dengan pelbagai situasi yang genting dan bencana. -Teganukita

No comments:

Post a Comment