Thursday 12 February 2015

Berita baik: Tarif elektrik turun 2.25 sen/kwj mulai Mac

Tarif Elektrik Turun 2.25 Sen/kwj Mulai Mac 2015.
PUTRAJAYA — Pengguna di Semenanjung Malaysia akan menikmati penurunan tarif elektrik dengan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2.25 sen setiap per kilowatt-jam (kWj) manakala purata kadar tarif bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diturunkan sebanyak 1.20/kWj berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun 2015.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini setelah dimaklumkan kos penjimatan ICPT yang boleh dilepaskan kepada pengguna dalam bentuk tarif yang lebih rendah adalah RM726.99 juta setelah mengambil kira penurunan kos bahan api global dan penjanaan.
Beliau berkata penjimatan kos ICPT itu akan menurunkan bil elektrik bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300/kWj sebulan dan semua pengguna dalam kategori lain seperti komersial dan industri.
“Walau bagaimanapun, pengguna domestik yang menggunakan elektrik 300/kWj dan ke bawah sebulan, tidak terlibat dengan keputusan ini,” katanya dalam sidang media berkaitan ICPT dan tarif elektrik di sini hari ini.
ICPT dilaksanakan di Semenanjung Malaysia pada Januari 2014 sebagai satu mekanisme untuk membenarkan sebarang perubahan dalam kos bahan api dan penjanaan dilepaskan kepada pengguna.
Ongkili berkata berikutan penjimatan ICPT itu, pengguna domestik, sebagai contoh, akan menikmati pengurangan bil elektrik dalam lingkungan RM13.50 hingga RM45 dalam bil bulanan.
“Penjimatan yang dinikmati bergantung kepada penggunaan elektrik masing-masing,” katanya.
Ongkili berkata asas penjimatan ICPT sebanyak RM726.99 juta antara lain disebabkan lebih penggunaan bahan api arang batu berbanding bahan api alternatif seperti Medium Fuel Oil (MFO) dan distillate disebabkan tahap kecekapan prestasi sebenar loji jana kuasa arang batu yang telah meningkat.
Beliau juga berkata penjimatan kos ICPT itu diterjemahkan dalam bentuk pengurangan tarif sebanyak 2.25 sen/kWj yang merupakan pengurangan sebanyak 5.8 peratus daripada purata kadar tarif TNB iaitu 38.53 sen.
Mengenai pengguna domestik yang menggunakan elektrik 300/kWj ke bawah sebulan yang tidak terlibat dengan keputusan tersebut, ia disebabkan kadar tarif untuk jaluran asas (Lifeline Band 0-200kWj) kekal pada 21.8 sen/kWj semenjak 1997 dan kadar tarif untuk penggunaan 201-300kWj sebulan telah dikekalkan pada 33.4 sen/kWj semenjak 2009.
“Terdapat lebih kurang satu juta pengguna domestik TNB dalam jaluran asas dengan bil sebanyak RM20 dan ke bawah yang mana bil mereka ditanggung kerajaan. Oleh itu, mereka tidak terlibat dalam penurunan tarif ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ongkili berkata Jemaah Menteri juga bersetuju agar purata kadar tarif 34.52 sen/kWj diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun tahun ini, yang merupakan penurunan sebanyak 3.5 peratus daripada purata kadar tarif semasa.
Keputusan itu melibatkan semua pengguna domestik yang menggunakan elektrik 300/kWj sebulan dan semua pengguna dalam kategori lain seperti komersial dan industri, katanya.
Kerajaan meluluskan kenaikan tarif elektrik negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 5 sen/kWj daripada purata kadar 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen/kWj bersama subsidi bahan api dan subsidi tarif berkuat kuasa 1 Jan 2014.
Beliau berkata pemberian subsidi itu adalah kerana hasil pungutan pendapatan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tidak mencukupi untuk menampung kos operasi SESB.
Ongkili berkata pengurangan tarif itu bermakna kerajaan persekutuan terpaksa mengekalkan anggaran subsidi bahan api sebanyak RM260 juta setahun.
Kerajaan juga meluluskan peruntukan RM2.3 bilion dalam bentuk geran untuk membangunkan 81 projek infrastruktur elektrik di Sabah bagi tempoh 2015–2020 termasuk projek untuk mengurangkan SAIDI (kekerapan gangguan bekalan elektrik).
Ongkili menjelaskan mekanisme ICPT tidak diimplementasikan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bagi negeri Sarawak pula, beliau menjelaskan industri bekalan elektrik, termasuk isu-isu berkaitan tarif elektrik, tidak dikawal selia Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengikut Seksyen 1(2), Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447].
Ditanya kenapa pengurangan berkenaan hanya setakat Jun tahun ini, Ongkili berkata pasaran masih tidak menentu.
“Kerajaan telah membuat komitmen iaitu tiada semakan kenaikan pada tahun ini. Kami komited kepada dasar itu. Tiada peningkatan pada tahun ini.
“Jika kami perlu semakan penurunan lagi…kami akan tentukan bila tiba masanya,” katanya.– BERNAMA

No comments:

Post a Comment