KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan meneliti program yang diluluskan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain supaya tidak melanggar peraturan perkabungan selama 40 hari yang diisytiharkan bermula semalam.
Perkabungan selama 40 hari hingga 4 Mac itu adalah sebagai tanda berdukacita di atas kemangkatan Tengku Ampuan Tua Terengganu, Tengku Intan Zaharah Almarhum Tengku Seri Setia Raja Tengku Hitam Omar.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda berkata, sehingga kini pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai jumlah lesen program yang dikeluarkan oleh PBT sebelum ini.
“Mana-mana program berbentuk hiburan adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun, majlis atau acara yang berunsurkan keagamaan, pendidikan, riadah dan ilmiah dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir ke atas jenazah Almarhum Tengku Intan Zaharah, yang juga bekas Raja Permaisuri Agong keempat di Istana Maziah hari ini.
Almarhum Tengku Intan Zaharah, 86, mangkat di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada 3.26 petang semalam.
Osman berkata, pekeliling telah diedarkan kepada semua agensi kerajaan agar mematuhi arahan perkabungan itu.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya ada penganjur yang ingkar arahan untuk tidak mengadakan program hiburan,” katanya.
Ditanya mengenai sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada 19 dan 20 Februari nanti, beliau berkata semua pihak yang ingin mengadakan program sambutan perlu merujuk kepada kerajaan negeri terlebih dahulu.
“Semua pihak diingatkan supaya meminta kebenaran dengan kerajaan negeri sebelum membuat sebarang program. Majlis atau acara yang berunsurkan hiburan dilarang di seluruh negeri Terengganu sepanjang tempoh perkabungan ini,” katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment