Tuesday 20 January 2015

SOP banjir Terengganu diiktiraf terbaik

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (tengah) dan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri) meneliti barangan sumbangan iaitu peralatan khemah dan beg tidur untuk diagighkan kepada mangsa mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman baru-baru ini.
DUNGUN – Prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai oleh Terengganu dalam persiapan awal menghadapi banjir sehinggalah ke pasca banjir mencapai tahap membanggakan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, pihaknya khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang terlibat dengan kesemua urusan banjir akan melihat atau mengkaji SOP dilaksanakan oleh Terengganu untuk dicontohi negeri lain.
Menurutnya, langkah yang dilaksanakan di negeri ini mencapai tahap paling tinggi dan wajar dicontohi supaya dapat menggunakan pendekatan terbaik apabila berdepan musibah banjir.
“Langkah dari segi persiapan awal untuk menghadapi banjir berjalan lancar sehinggalah selepas bencana.
“Ia boleh dikatakan mencapai tahap pingat emas dan boleh dicontohi negeri lain untuk kita bertukar-tukar pendapat serta mempelajari bagaimana mahu berdepan musibah banjir dan masalah lain yang dihadapi,” katanya.
Kata beliau, pihaknya akan lihat SOP yang dijalankan di Terengganu dari segi bekalan makanan dan bagaimana kita dapat mengagihkan penempatan banjir untuk kampung ditentukan lebih awal.
“Oleh itu, rakyat tidak kelam kabut bila berlaku bencana dan tahu ke mana hendak dituju.
“MKN akan lihat secara keseluruhan dan kita  akan ambil yang terbaik,” katanya pada sidang media ketika majlis penyampaian bantuan banjir di SK Durian Mentangau, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiusaha Kerajaan Terengganu, Datuk Osman Muda, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Zabidi Zainal dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan
Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.
Sementara itu, Ali berkata, buat masa sekarang tugas pasca banjir adalah yang paling penting perlu dilaksanakan.
“Seperti diumumkan oleh kerajaan kerja pembersihan, pembinaan dan pembaikan rumah, kemudahan awam yang rosak sedang giat dijalankan.
“Terima kasih juga kepada seluruh sukarelawan yang telah membantu rakyat termasuk penjawat awam,” katanya.
Kata beliau, Menteri Besar Terengganu ada memaklumkan juga peruntukan untuk keperluan selepas banjir kepada kita, di antaranya ialah pembaikan infrastruktur , projek penempatan baru dan keperluan empangan.
“Terserah kepada kerajaan pusat menentukannya dan kita mulakan peruntukan khusus untuk rakyat terlebih dahulu termasuk keperluan perumahan penduduk.
“Seterusnya kita akan lihat dari segi pembangunan infrastruktur iaitu mungkin untuk mendalamkan sungai atau empangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment