Tuesday 30 December 2014

QZ8501: Keluarga tenang walau ada laporan serpihan ditemui

SURABAYA: Keadaan di Pusat Krisis Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, dekat sini, tenang walaupun terdapat laporan media tempatan dan antarabangsa bahawa pasukan mencari pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 menemui beberapa serpihan di lokasi pencarian petang ini.
Suasana di pusat ini yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Surabaya, terkawal dengan ratusan waris dan anggota keluarga terus sabar menanti maklumbalas daripada pihak berkuasa.
Dari sudut cermin bilik, penulis melihat Ketua Badan Badan SAR Nasional (BASARNAS) di Surabaya, M Hernanto sedang memberikan taklimat manakala pegawai penerbangan AirAsia Indonesia menenangkan para waris keluarga mangsa pesawat yang hilang itu.
Antara yang kedengaran ialah 'sila bersabar' dan ketenangan masih lagi terpancar di riak wajah waris keluarga walaupun gambar menunjukkan serpihan dimainkan di stesen televisyen tempatan secara langsung dari kawasan pencarian.
Ada juga anggota keluarga yang menzahirkan harapan agar serpihan berkenaan bukan dari pesawat QZ8501.
Sehingga berita ini ditulis, tiada pengesahan dari pihak berkuasa Indonesia sama ada serpihan itu adalah dari pesawat berkenaan.
Cubaan Bernama mendapatkan reaksi waris keluarga mengenai laporan penemuan serpihan itu belum lagi berjaya setakat ini kerana mereka masih lagi ditempatkan dalam sebuah bilik khas di pusat krisis.
Media tempatan dan antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 10 objek serpihan seperti pintu kecemasan, rakit dan jaket keselamatan ditemui di lokasi pencarian di Pangkalan Bun, Kalimantan Barat.
Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadualkan tiba di Singapura pada 8.20 pagi tetapi hilang komunikasi dengan menara kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi.
Seramai 155 daripada mereka adalah warga Indonesia dan seorang dari Malaysia. - BERNAMA
             

No comments:

Post a Comment