Sunday 23 November 2014

Terengganu berjaga-jaga kemungkinan gelombang kedua banjir

                                      Ahmad Razif melawat mangsa banjir di pusat pemindahan.

Kerajaan negeri  menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JKPBNT) sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya banjir berulang lagi dalam tempoh terdekat.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya sudah mengerahkan setiap agensi terlibat supaya mempertingkatkan persiapan jika fenomena itu berulang.
Katanya, persiapan itu juga mengambil kira kemungkinan hari ini (23 November) dijangka berlaku air laut pasang dan sekiranya hujan yang lebat dan berterusan boleh menyebabkan banjir kembali berulang di beberapa kawasan berisiko.
“Menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, kita  sentiasa bersiap sedia kerana kita yakin akan ada lagi berlaku fenomena banjir ini.
“Usaha itu termasuk  mempertingkatkan persediaan dan menyediakan kemudahan bekalan serta sudah mengenalpasti masalah yang dihadapi termasuk dari segi penghantaran bekalan ke pusat-pusat pemindahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Khas Jawatankuasa Bencana, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Osman Muda;  Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Samiun Salleh dan pemangku Setiusaha MKN Terengganu, Roslina Ngah.
Ahmad Razif berkata  dalam keputusan mesyuarat jawatankuasa banjir juga memutuskan supaya pusat-pusat  pemindahan banjir dijadikan sebagai stor menyimpan bekalan, walaupun pusat berkenaan sudah ditutup sebagai persiapan sekiranya kejadian itu berulang lagi pada musim ini.
Dalam pada itu, semua bahan mentah seperti sayur-sayuran, ikan dan keperluan basah lain juga akan disalurkan segera menerusi bajet kerajaan negeri dan tidak menunggu sehingga seminggu baru diagihkan sebagaimana peraturan terdahulu.
“Mesyuarat memutuskan bekalan bahan mentah tidak lagi mengikut  peraturan sebelum ini, diagihkan  seminggu selepas banjir, sebaliknya akan terus disalurkan menerusi peruntukan kerajaan negeri,”katanya.
Dalam perkembangan yang sama,  berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh  Jabatan Meteorologi, banjir yang berlaku pada tahun ini tidak sebagaimana tahun lalu, bagaimanapun kerajaan negeri bimbang jika berlaku penggabungan hujan dan air laut pasang beserta aras sungai yang naik boleh menyebabkan risiko banjir besar sebagaimana tahun lepas mampu berulang.
Katanya, sudah berlaku dua gelombang di Terengganu di mana  gelombang pertama tidak memberi kesan sebelum gelombang kedua, baru-baru ini yang menyebabkan banjir di beberapa kawasan rendah.

No comments:

Post a Comment