Tuesday 9 June 2015

KT Walk makin popular, dapat sambutan hebat (7 Gambar)


Orang ramai menyambut baik kewujudan KT Walk sejak bulan April lalu.
KUALA TERENGGANU – Pasar malam KT Walk yang mula diperkenalkan sejak 24 April lalu, makin popular dan dapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mohamad Kamil Othman berkata, melihatkan sambutan yang cukup hangat itu, pihaknya berhasrat untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan, termasuk menambah kawasannya sepanjang Ramadan nanti.
Menurutnya, buat masa ini, kawasan KT Walk terlibat ialah Jalan Sultan Ismail, sepanjang 500 meter iaitu dari bangunan Menara PMINT hingga Tabung Haji.
“Insya-Allah pada Ramadan nanti, kita bercadang tambah kemudahan kepada peniaga ini, terutama gerai makan. Saya akan berbincang dengan pihak berkuasa untuk kita buka di hadapan stadium (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) juga.
“Jadi, mungkin kita akan tutup satu jalan, ini rancangan kita. Kalau dipersetujui, ia akan beri peluang kepada orang kita untuk berniaga pada bulan puasa nanti,” katanya.
KT Walk dibuka setiap Jumaat, dan waktu operasi dari jam 5 petang dan berakhir jam 12 tengah malam.
Seramai 100 peniaga tempatan terlibat menjual produk seperti makanan tradisional Terengganu, produk asas tani, pakaian, barangan cenderamata dan kraf tangan.
Selain itu, aktiviti dan persembahan kebudayaan turut dianjurkan antaranya tarian tradisional Terengganu, bola sepak jalanan, persembahan ‘busker’, sukan mini marathon, malam kesenian Islam, demonstrasi silap mata dan canting batik. -Sinar Harian
Penduduk Kuala Terengganu dan pelancong kini menjadikan KT Walk tempat wajib dikunjungi setiap Jumaat.

No comments:

Post a Comment